Quantcast

LIGA MALAYSIA

‘Pengadilan Mengecewakan Di Larkin Runtuhkan Moral Pemain Kami’

Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain melepaskan rasa tidak puas hati beliau kepada pengadil yang mengadili aksi JDT dan Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Terengganu tewas 4-0 di tangan JDT dan tersingkir dari suku akhir Piala Malaysia 2019 – dengan agregate 5-1 memihak JDT.

Dipetik dari sumber BH Online, Nafuzi menegaskan, para pemain beliau awalnya sangat bermotivasi untuk mengatasi defisit 1 gol. Namun moral para pemain menjadi merudum setelah pengadilan Zulkarnai Zakaria yang tidak memuaskan.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat aksi: “Keputusan yang dibuat [pengadil] membunuh motivasi para pemain. Dan saya sendiri pernah berstatus pemain, menjangkakan perlawanan yang bermutu tapi ia sekadar indah khabar dari rupa apabila momentum perlawanan terjejas.”

“Bagi saya kualiti permainan yang berintensiti hanyalah untuk 20 minit sahaja. Selepas kami ketinggalan 2-0 tiada lagi keseronokan tatkala rentak permainan diganggu dengan beberapa keputusan yang saya sendiri anggap agak pelik.”

Nafuzi kemudiannya menyatakan beliau bukan nak mengkritik mutu pengadilan tetapi cuma tidak faham dengan beberapa keputusan pengadil.

“Saya tidak mahu mengkritik mutu pengadilan kerana saya bukanlah arif dari aspek pengadilan.”

“Cuma berdasarkan pengalaman tatkala beraksi di Larkin, skrip yang sama akan berlaku kepada kami.”

“Keputusan yang dibuat oleh pengadil, [kadangkala] saya sendiri tidak faham. Mungkin pengadil keliru dalam situasi yang berlaku.”

Akhir sekali Nafuzi Zain bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemainnya. Beliau berpendapat Terengganu telah memberikan saingan sengit kepada JDT.”

“Apapun bagi saya, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain TFC dengan memberi tentangan sengit terhadap JDT, saya berpuas hati dan mereka sudah memberi yang terbaik namun saya tetap kecewa dengan kualiti pengadil,” katanya lagi.

Beliau tidak mahu kritikal ke atas para pemain pertahanan beliau kerana mereka terpaksa menggunakan pemain daripada skuad pembangunan dalam perlawanan itu.

Lagipun JDT diperkasakan oleh Cabrera dan Safawi Rasid yang sangat bijak menghukum kesilapan lawan.