Sazali Saidun: Negeri Sembilan Akan Terima Segala Keputusan

Sazali Saidun

Jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun sedia menerima apa sahaja keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) terhadap status Liga Malaysia musim 2020.

Sama ada akan disambung atau dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19, Sazali berpandangan tiap pilihan itu ada kesan baik dan buruk kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dengan industri bola sepak tanah air.

Justeru beliau yakin FAM dan MFL akan memberikan kata putus yang terbaik selepas menerima saranan daripada kerajaan terutama melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Negeri Sembilan sebagai rakan kongsi akan terima dan patuh apa sahaja yang diputuskan FAM dan MFL berhubung perjalanan Liga Malaysia musim ini.

“Jika diteruskan, saya faham terhadap kepentingan kepada bola sepak tanah air kita dan jika dibatalkan, ia adalah mengambil kira soal keselamatan yang perlu jadi keutamaan.

“Sekarang ini kes COVID-19 semakin menurun dengan banyak kawasan sudah diisytihar zon hijau dan saya rasa perkara ini juga kita kena teliti.

“Cuma yang jadi masalah utamanya sekarang perkara-perkara seperti pergerakan selaku pasukan pelawat mungkin akan jadi cabaran utama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir yang mungkin dijadikan SOP (Standard Operating Procedure) nanti.

Sazali Saidun ketika sesi latihan pasukan.

“Jadi memang satu cabaran juga buat FAM dan MFL membuat keputusan tetapi seperti saya katakan, Negeri Sembilan akan mengikuti apa sahaja arahan yang dikeluarkan, ” katanya.

Liga Malaysia yang ditangguh sejak 16 Mac lalu kini akan diketahui statusnya tidak lama lagi melalui pengumuman rasmi oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Sazali berkata, penangguhan Liga Malaysia seolah-olah memberikan sedikit hikmah kepada pasukannya yang bermula agak perlahan dalam pentas Liga Premier.

Hanya meraih satu kemenangan daripada empat perlawanan, skuad Hobin Jang Hobin itu sekadar menghuni tangga ke-10 Liga Premier buat masa ini.

“Situasi COVID-19 ini memberikan saya sedikit kelegaan dalam memperbaiki serta mencatur kembali strategi pasukan untuk tempoh akan datang.

“Jadi saya akan gunakan tempoh yang ada ini bagi mengkaji kelemahan tertentu terutama di bahagian pertahanan yang jadi masalah utama pasukan.

“Mereka banyak melakukan kesilapan mudah serta gagal bertahan dengan baik yang banyak meragut peluang pasukan untuk meraih kemenangan,” ujar Sazali Saidun lagi.

Negeri Sembilan memulakan saingan Liga Malaysia dengan kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 1-3, disusuli tunduk kepada Kuala Lumpur dan Kelantan United, 1-3 dan 0-3, sebelum mencatat kemenangan pertama musim ini ke atas UKM FC, 2-0.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan – PBNS

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN