Werner, Sane Tetap Sasaran Utama Bayern Munich

Kelab Bundesliga, Bayern Munich masih fokus kepada dua sasaran utama mereka iaitu Timo Werner dan Leroy Sane untuk dibawa masuk ke Allianz Arena pada musim perpindahan akan datang.

Pasukan itu masih kekal dengan polisi kelab untuk mendapatkan pemain terbaik di dunia bagi memastikan dominasi mereka dalam arena bola Jerman dan juga Eropah di bawah kendalian pengurus Hansi Flick.

Kali terakhir Bayern menjulang piala Liga Juara-Juara Eropah (UCL) adalah pada 2013 dan mereka masih berusaha untuk kembali memburu kejuaraan tersebut pada musim ini sebelum UEFA menangguhkan semua pertandingan Eropah ekoran pandemik COVID-19.

Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic dalam kenyataannya kepada akhbar Welt am Sonntag menjelaskan, untuk menambah kekuatan pasukan pada musim depan, The Bavarians sudah pun memulakan kerja-kerja mendapatkan pemain baharu.

“Kami mahu memperkuatkan kekuatan pasukan ini dengan pemain-pemain paling berbakat di Eropah dan juga membawa masuk bintang-bintang dunia ke Munich yang akan meningkatkan kualiti pasukan untuk menawarkan corak pemainan bola sepak yang menarik untuk ditonton.

“Saya dan semua warga Bayern Munich mahu menjuarai UCL.”

Penyerang RB Leipzig, Werner dan pemain sayap Manchester City, Sane adalah keutamaan pasukan itu untuk direkrut pada musim panas ini.

Musim ini Bayern telah pun membawa masuk tiga pemain Perancis, Lucas Hernandez, Benjamin Pavard dan Michael Cuisance serta meminjam Philippe Coutinho dari Bercelona, Ivan Perisic dari Inter Milan dan Alvaro Odriozola dari Real Madrid.

Pasukan itu juga dalam landasan tepat untuk mengekalkan kejuaraan Bundesliga sebelum saingan liga dihentikan pada bulan Mac lepas.

Pihak autoriti liga Jerman, DFL kini telah merancang untuk menyambung saingan liga pada awal Mei, namun mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan persetujuan dan kebenaran dari pihak kerajaan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Werner, Sane dan Bayern Munich:

Leave a Reply