Siapa yang dapat menjangka Francesco Totti sanggup mensasarkan keluar sepakan penalti dengan sengaja jika diberikan oleh pengadil?
Francesco Totti mengalirkan air mata ketika meninggalkan padang setelah pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat yang menyaksikan AS Roma menundukkan Genoa 3-2.
Ia adalah perlawanan terakhir untuk mengakhiri karier yang telah dimulakan 25 tahun yang lalu.
Penyokong dan peminat Totti yang hadir dalam perlawanan tersebut turut merasakan emosi sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ikon bola sepak Roma itu.
Namun mereka akan bertambah pilu andai Totti dihadiahkan sepakan penalti dalam perlawanan tersebut.
Ini adalah kerana pemain berusia 40 tahun terebut merancang untuk memastikan penalti berkenaan disasarkan keluar secara sengaja.
Totti menjaringkan sejumlah 307 gol melalui 786 penampilan untuk kelab dari bandar Rom itu.
Beliau tahu perlawanan tersebut semuanya akan berkisar kepada dirinya. Hal ini membayangi kejayaan kelab tersebut melayakkan diri ke peringkat kumpulan UEFA Champions League pada musim hadapan.
Sekurang-kurangnya, Totti sedar kejayaan dan pencapaian pasukan adalah lebih penting untuk diraikan berbanding perihal dirinya.
Disebabkan itu, Totti tidak mahu menjaringkan penalti yang dianggap ‘heroic’ jika diberikan oleh pengadil.
Bekas rakan sepasukan beliau di AS Roma, Juan Jesus memberitahu sebuah stesen radio di Brazil:
“Sebelum sepak mula perlawanan terakhir tersebut, Totti telah menyatakan kepada kami bahawa dia tidak akan menjaringkan gol penalti dalam perlawanan tersebut.”
“Sebaliknya, Totti merancang untuk merembat liar ke arah tifosi (penyokong) di belakang gol!”
Namun perlawanan tersebut berakhir tanpa sebarang sepakan penalti. Maka Totti juga tidak berpeluang untuk melaksanakan niatnya.
Perlawanan terakhir musim ini untuk AS Roma dan Francesco Totti berlangsung dalam keadaan yang mendebarkan mereka yang hadir di Stadio Olimpico, Rom.
Pasukan tuan rumah, AS Roma harus menang untuk memastikan mereka layak terus ke saingan peringkat kumpulan. Ini sekaligus akan mengelakkan mereka daripada melalui pusingan kelayakkan pada awal musim.
Tuan rumah, AS Roma menang tipis dengan jaringan 3-2 mengatasi Genoa. Kelab Roma berkenaan memerlukan gol minit akhir Diego Perotti untuk memastikan misi mereka tercapai.
Selepas perlawanan, Totti membacakan teks ucapan yang telah disediakan lebih awal kepada penyokong dan peminatnya.
Jelas sekali Francesco Totti sentiasa mengutamakan nama dan kejayaan AS Roma berbanding dirinya sendiri. Kerana sayangkan AS Roma, Totti sanggup sengaja sasarkan keluar sepakan penalti!