“Saya Undur Diri” – TMJ Umum Tidak Lagi Uruskan JDT

Sebentar tadi Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dikhabarkan telah berundur daripada menguruskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bakal menyerahkan segala tugas harian kepada pengurusan tertinggi kelab.

Perkara tersebut dikhabarkan menerusi laman rasmi Facebook Johor Southern Tiger (JST) sebentar tadi mengenai pengunduran mengejut dibuat oleh TMJ atas sebab-sebab tertentu.

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” jelas TMJ pada kenyataan tersebut menerusi laman JST.

Untuk rekod, TMJ telah membawa banyak sumbangan besar kepada JDT apabila kelab tersebut menjuarai saingan Liga Super sebanyak lapan kali selain menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali serta sekali muncul juara Piala FA.

Selain menghadirkan kejuaraan peringkat domestik, TMJ juga pastinya menjadi insan paling bangga dalam bola sepak Malaysia apabila pasukan miliknya, JDT tampil selaku juara Piala AFC pada tahun 2015 buat kali pertama dalam sejarah negara.

Selain hanya membawa kejuaraan buat pasukan, TMJ juga antara individu paling lantang bersuara mengenai kebajikan kelab serta kepentingan fasiliti sebagai suatu aset.

JDT terus menjadi contoh dalam bola sepak negara apabila usaha TMJ dilihat berbaloi setelah kelab tersebut muncul dengan fasiliti berkelas dunia dan turut mendapat banyak pujian daripada pihak luar negara.

Antara aset penting yang dirangka  oleh TMJ sehingga berjaya ialah pusat latihan tertutup di Padang Seri Gelam dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Baginda juga menjadi contoh dalam bola sepak negara apabila sering melontarkan pandangan dan tidak lokek berkongsi idea agar masa depan sukan tersebut dalam negara lebih terjamin.

Kejayaan terbaharu dilakar oleh TMJ bersama pasukan miliknya iaitu JDT, mereka berjaya melangkah ke pusingan kalah mati di pentas ACL apabila muncul selaku juara Kumpulan I untuk mengetepikan cabaran Ulsan Hyundai, Guangzhou FC, dan Kawasaki Frontale.

Walaupun sering mendapat pelbagai kritikan, TMJ nyata tidak goyah dengan pendirian yang dibuat, malah terus melangkah jauh meninggalkan para pesaing di peringkat domestik demi mencabar kejuaraan lebih berprestij.

Semoga apa pun yang dilakukan oleh TMJ selepas ini terus berjaya dan diharap baginda bakal kembali memeriahkan suasana bola sepak negara pada masa akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN