ANALISIS: Bagaimana Tekanan Tinggi Malaysia Buatkan Turkmenistan ‘Kelemasan’

Malaysia

Malaysia turun dengan permainan yang positif sepanjang separuh masa pertama. Sejak daripada minit awal perlawanan, pemain negara melakukan tekanan dengan tempo permainan yang tinggi ke atas lawan.

Tekanan tinggi Malaysia menghasilkan deretan serangan dan penetrasi di zon 14 dalam keadaan Turkmenistan masih belum menyesuaikan diri dengan perlawanan.

Pasukan kebangsaan bergerak seimbang menggunakan kedua-dua bahagian sayap.

Peranan pertahanan sisi (fullback) yang naik membantu di wide area memberikan kelebihan bilangan pemain (numerical advantage) dan ‘bloated’. Ia memudahkan penjanaan serangan skuad kebangsaan memburu gol.

Arif Aiman antara watak penting di sebelah kanan dengan kelincahan mengatasi pertahanan lawan. Namun, lorongan terakhir beliau tidak mengenai sasaran yang sepatutnya dan ia seharusnya dibaiki.

Darren Lok sangat aktif bergerak di barisan pertama bertahan (first line defensive). Satu tekanan beliau berjaya membuka ruang kepada serangan balas pantas yang digerakkan oleh Safawi Rasid.

Safawi melorongkan bola kepada Arif dengan beliau tidak melakukan banyak sentuhan untuk terus melakukan percubaan.

Bola muntah di hadapan gol jatuh tepat ke kaki Safawi dan mudah disudahkan oleh Safawi untuk meletakkan Malaysia satu gol di hadapan.

Sekali lagi peranan aktif barisan hadapan Malaysia menekan pasukan lawan membuahkan hasil dengan tekanan awal daripada Darren memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan.

Ariff Aiman kemudian bijak mencuri bola ketika barisan pertahanan Turkmenistan yang tidak memberikan perhatian terhadap ancaman beliau.

Turkmenistan kehilangan bola di zon 14 dan Faisal Halim yang berada berhampiran dengan bola melakukan larian ke hadapan dan menjaringkan gol mudah buat pasukan negara.

Malaysia mengatasi lawan dengan kelebihan dua gol ketika perlawanan baru memasuki 1/3 separuh masa.

Malaysia juga bermain secara kompak dan bergerak dalam satu pasukan yang kukuh. Oleh sebab itu, ada dua, tiga pemain bergerak ke arah bola dan menekan pasukan lawan.

Saat pemain lawan kehilangan bola, dua, tiga pemain sudah bergerak ke hadapan untuk menyerang balas.

Malaysia bermain dengan ultra offensive. Namun, kita jangan lupa bagaimana peranan Syamer Kutty Abba dan Azam Azih yang juga banyak membantu mendapatkan semula bola dan hantaran yang menjolok di antara garisan pasukan.

Ini kunci penting sepanjang separuh masa pertama. Malaysia selesa dengan tiga gol dan bocor sekali.

Situasi separuh masa kedua sedikit berbeza. Intensiti permainan menurun didorong faktor keletihan para pemain untuk bermain di garisan tinggi.

Kim Pan-gon melakukan pertukaran dengan memasukkan Junior Edstal untuk menggantikan Safawi dan formasi pasukan kebangsaan berubah kepada 5-4-1.

Eldstal berada di pertahanan tengah untuk menambah kekuatan fizikal dan kelebihan ketika situasi perebutan bola di udara.

Turkmenistan semakin tertekan untuk melakukan penetrasi di bahagian tengah kerana Malaysia terlalu kompak ketika bertahan.

Malaysia tidak memberikan ancaman pada separuh masa kedua. Namun, perlawanan secara keseluruhan masih terkawal.

Malaysia mencatatkan kemenangan yang penting dalam perlawanan pertama. Namun, dua perlawanan seterusnya juga penting untuk pasukan negara untuk layak ke Piala Asia.

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Hafiz Mansor. Jika anda ingin menyumbang penulisan kepada kami, hantarkan artikel dalam format MS Word dengan tidak kurang daripada 300 patah perkataan ke [email protected] .

Kredit gambar: FAM

Leave a Reply