“Saya Nak Pergi Lebih Jauh Lagi” – Syihan Hazmi Enggan Terima Pujian Berlebihan

Pada perlawanan pertama King’s Cup yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai semalam membabitkan pertemuan antara Malaysia dan Thailand, nama penjaga gol negara iaitu Ahmad Syihan Hazmi antara paling banyak mendapat perhatian.

Apa tidaknya, aksi cemerlang penjaga gol tersebut semalam jelas banyak menidakkan banyak peluang buat Thailand untuk meraih gol terutama sekali di separuh masa kedua.

Syihan yang bermain selaku penjaga gol utama negara buat kali kedua tahun ini jelas membalas kepercayaan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dengan aksinya yang sangat mantap sepanjang perlawanan berlangsung.

Daripada lima percubaan tepat yang dibuat oleh Thailand semalam, penjaga gol tinggi lampai itu berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi sebanyak empat kali.

Dari segi gaya permainan, Syihan jelas berjaya membuatkan kebanyakan penyokong untuk keluar daripada bayangan aksi bekas penjaga gol negara sebelum itu, Farizal Marlias.

Menerusi ketenangan Syihan dalam membuat hantaran dan meredakan tekanan lawan, maka tidak hairan nama pemain ini akan terus menjadi pilihan Pan-gon untuk aksi yang mendatang.

Kecemerlangan penjaga gol berasal dari Kelantan ini mula mendapat pujian ramai setelah beliau konsisten beraksi bersama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super 2022.

Selepas itu, Syihan juga menjadi antara tonggak penting yang membawa Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023 menerusi aksi cemerlangnya ketika berdepan Bangladesh di peringkat kumpulan.

Pada aksi semalam, Syihan enggan menganggap kecemerlangan beliau sebagai faktor utama kejayaan Malaysia ke pentas akhir.

Sebaliknya, pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kecemerlangan rakan-rakan sepasukan sebagai punca mengapa Malaysia tampil cemerlang mengatasi Thailand.

“Alhamdulillah, yang saya boleh katakan aksi menyelamatkan bola tu bukan kerana saya seorang sahaja, tetapi kerana satu pasukan malam ini berjaya memberi aksi cukup baik.

“Kami masing-masing saling menjaga dengan elok, dengar arahan jurulatih, Alhamdulillah atas kejayaan malam ini.

“Thailand bukan satu lawan yang mudah. Mereka hebat dengan cara serangan mereka amat berkualiti. Tetapi, pertahanan kita pun mampu menjaga keadaan dengan sangat baik,” jelas Syihan.

Ketika ditanya jika ada latihan tambahan dibuat sebelum itu untuk bertemu Thailand, Syihan secara individu mengakui banyak dibuat beliau termasuk menjaga aspek pemakanan.

“Bagi individu untuk diri saya, bukan setakat latihan sahaja, malah pemakanan turut dijaga selain beberapa perkara lain turut ditekankan untuk mengekalkan prestasi,” tambah penjaga gol utama Negeri Sembilan itu.

Pada masa sama, Syihan menganggap pilihan Pan-gon untuk meletakkan dirinya selaku penjaga gol utama negara ketika sebagai suatu rezeki.

“Rezeki ini kita tak boleh nak jangka. Harapan saya untuk terus tingkatkan lagi kualiti permainan dan nak pergi lebih jauh lagi.

“Bukan setakat ini sahaja. Saya harap pujian juga tidak perlu diberi berlebihan selain terus berdoa kepada kami. Masih banyak lagi perkara kami akan tempuhi selepas ini,” terang beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN