King’s Cup: Persembahan Cemerlang Syihan Bawa Malaysia Ke Final

Malaysia berjaya melakar kemenangan sulung mereka dalam aksi pertama saingan King’s Cup di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, dengan menundukkan Thailand menerusi aksi penentuan penalti 4-3 memihak skuad negara.

Corbin Ong yang mengambil penalti terakhir muncul wira untuk mengesahkan Malaysia layak ke final setelah sebelum itu, beliau juga muncul selaku penjaring tunggal di separuh masa pertama.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia jelas beraksi dengan sangat baik untuk mengetepikan lawan dengan Syihan Hazmi jelas menjadi wira buat skuad kebangsaan menerusi ketangkasan beliau menafikan percubaan lawan.

Boleh dikatakan tiga kali percubaan lawan yang tepat berjaya ditepis oleh Syihan dengan sangat baik konsistensi beliau kekal sepanjang 90 minit aksi berlangsung.

Selain itu, aksi beliau dalam menyelamatkan sepakan penalti daripada Supachok berjaya ditepis dengan baik oleh penjaga gol tersebut untuk membantu Malaysia melangkah ke pentas akhir.

Setelah lima minit permainan berlangsung, Malaysia berjaya mengimbangi perlawanan dengan baik sekali untuk menyerap asakan lawan serta berjaya mencipta dua peluang awal.

Selaku penyerang utama kebangsaan, Darren Lok dilihat berjaya menampilkan aksi beliau yang sangat baik pada awal permainan ini menerusi larian-larian dibuat untuk menekan pertahanan lawan.

Thailand yang tampil dengan hantaran-hantaran pendek jelas selesa mengawal keadaan dengan kapten mereka iaitu Chanathip Songkrasin menjadi kunci utama dalam mencipta ruang serangan.

Selepas 13 minit permainan berlangsung, suatu kejutan berlaku dalam barisan utama pemain Thailand apabila kapten mereka, Chanathip dibawa keluar untuk digantikan kepada Sumanya Purisai.

Pemain tengah negara, Brendan Gan jelas menjadi tumpuan pada perlawanan ini apabila beliau banyak menghentikan segala bentuk serangan cuba dicipta oleh Thailand.

Corbin Ong akhirnya membuka jaringan sulung buat skuad kebangsaan untuk mengatasi Thailand pada minit ke-32, apabila pertahanan itu berjaya menyambar hantaran daripada situasi sepakan percuma Safawi Rasid.

Bersambung di separuh masa kedua, Thailand meningkatkan intensiti perlawanan dengan beberapa siri asakan untuk mencari kembali gol penyamaan.

Beberapa siri kekasaran dibuat oleh kedua pasukan juga menyaksikan ada layangan kad kuning terpaksa diberikan pengadil perlawanan, selain banyak wisel dibunyikan beliau.

Syihan berjaya menafikan satu percubaan wajib gol daripada penyerang Thailand, Suphanat Mueanta pada minit ke-62, setelah ada larian solo dibuat pemain tersebut yang hanya berhadapan penjaga gol negara sebelum ditepis keluar.

Menuju ke penghujung perlawanan, Pan-gon telah menukar beberapa orang pemain di bahagian pertahanan untuk mengukuhkan posisi tersebut, selepas menyedari Thailand agak agresif ketika menyerang.

Thailand berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung masa tambahan menerusi Pansa Hemviboon yang menanduk kemas bola dalam petak penalti untuk menewaskan Syihan Hazmi.

Keputusan perlawanan kekal dengan Malaysia berjaya diikat kembali oleh Thailand 1-1 untuk penentuan penalti bagi menentukan siapa layak ke pusingan final.

Menerusi aksi penentuan penalti menyaksikan Malaysia berjaya melangkah ke final setelah Syihan dan Corbin Ong sekali lagi muncul wira dalam perlawanan ini untuk menjulang skuad kebangsaan ke pentas akhir.

Kesebelasan utama

Thailand: Kampol Pathomakkakul (Penjaga gol), Theerathon Bunmathan, Pansa Hemviboon, Kritsada Kaman, Supachok Sarachat, Thitipan Puangchan, Supachai Jaided, Bordin Phala, Weerathep Pomphan, Narubadin Weerawatnodom, Chanathip Songkrasin (Kapten)

Malaysia: Ahmad Syihan Hazmi Bin Mohamed (Penjaga gol), Matthew Thomas Davies, Mohamad Faisal Bin Abdul Halim, Darren Yee Deng Lok, Muhammad Safawi Bin Rasid, Arif Aiman Bin Mohd Hanapi, Ahmad Khuzaimi Bin Piee, Muhammad Nor Azam Bin Abdul Azih, Brendan Seng Ling Gan, Dion Johan Chai Cools (Kapten), Corbin Ong La Vere Lawrence

Leave a Reply