Risto Vidakovic selaku pengendali utama Melaka United menggesa para anak buahnya supaya memberi fokus sepenuhnya dalam aksi pembukaan mereka menentang skuad Petaling Jaya City di Stadium MBPJ malam ini.
Jelas bekas pembantu jurulatih skuad Serbia itu, beliau mengharapkan para pemain supaya dapat merealisasikan sentuhan sebenar mereka seperti mana yang telah diterapkan sewaktu dalam latihan dalam merangka strategi berkesan untuk mengetepikan lawan.
Tambah Risto, apa yang ditekankan beliau sepanjang bersama pasukan ini adalah memberi tumpuan buat para pemain supaya meningkatkan lagi kualiti permainan supaya lebih ampuh menjelang aksi pembukaan liga.
Dalam masa yang sama, Risto juga tidak mahu memikirkan sebarang sasaran pasukan untuk saingan liga atau pencapaian sebarang piala kerana perjalanan masih lagi terlalu panjang untuk difikirkan.
Untuk itu, beliau hanya mahu memberi fokus dalam usaha meningkatkan kualiti persembahan pasukan dalam sesi latihan bagi mengharungi setiap perlawanan yang bakal tiba sambil enggan memikirkan impian yang terlalu tinggi bersama Melaka.
“Impian itu hanya akan memberi tekanan kepada pasukan dan menyebabkan mereka hilang fokus di atas padang.
“Itu cara saya bekerja. Saya nak mereka (pemain) fokus dengan setiap perlawanan berbanding meletakkan sasaran tertentu,” katanya menerusi Harian Metro.
Bekas pemain Osasuna itu juga berkata beliau dapat mengenal pasti banyak kelemahan dalam skuadnya sewaktu aksi pramusim menentang Selangor sebelum ini dan segalanya itu memerlukan Risto untuk memperbaiki aspek tersebut sebelum liga bermula.
Selain itu, Risto juga dilihat giat mengukuhkan setiap posisi secara menyeluruh kerana beliau merasakan itu sangat penting ketika beraksi dalam liga kelak walaupun tidak banyak masa yang ada untuk pengendali itu mengkaji lebih dalam mengenai anak buahnya.
Risto juga mengakui faktor keserasian masih lagi membelenggu skuad berkenaan dek kerana ramai muka baharu menyertai skuad ini dan beliau menganggap ini sebagai satu cabaran dalam membentuk kombinasi pemain yang mantap menjelang aksi pertama Melaka United.
Walaupun begitu, pengendali berusia 53 tersebut tetap optimis dengan kualiti yang bakal dipamerkan oleh para pemainnya selain berharap komitmen tinggi dan semangat kental mereka mampu untuk memperkasa pasukan berkenaan.