”Saya Nak Bantu Kedah…” – Ini Bukti Hati Baddrol Bakhtiar Masih ‘Melekat’ Dengan Sang Kenari

Baddrol Bakhtiar Sabah Penang match reaction sebut kedah

Dalam satu sedutan ‘match reaction’ selepas menjadi wira kemenangan ke atas Penang FC malam tadi, pemain tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dilihat telah tersasul menyebut nama bekas pasukannya, Kedah Darul Aman.

Baddrol telah meninggalkan Kedah selepas lebih 16 tahun menabur bakti bersama Sang Kenari dan tentu sukar buatnya untuk melupakan pasukan yang telah memperkenalkannya ke pentas tertinggi bola sepak Malaysia.

Bermain sejak usia belasan tahun, Baddrol sudah terlalu sinonim dengan Kedah, malah merupakan kapten dan lagenda buat mereka. Tentunya beliau sudah terbiasa menyebut nama Kedah berbanding Sabah. Dan ia berlaku di saat beliau melakar dua jaringan menarik untuk membantu Sabah melonjak ke tangga kedua Liga Super.

[VIDEO]: Gol Tanduk Terbang & Akrobatik, Percaturan Berani Kim Swee Terhadap Baddrol Bakhtiar Buahkan Hasil

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu, Sabah telah berjaya merekodkan kemenangan 4-2.

Pemain berusia 34 tahun itu terlebih dahulu mengejutkan semua pihak apabila diletakkan sebagai penyerang utama di depan sambil dibantu oleh Amri Yahyah dan Taiki Kagayama di kiri serta kanannya. Tidak terjangkau dek akal, Baddrol akan bermain sebagai penyerang, namun Datuk Ong Kim Swee meyakini kemampuannya.

Boleh dikatakan satu percaturan yang berani – mungkin disebabkan berdepan pasukan bergelut seperti Penang, Kim Swee memberikan kepercayaan penuh kepada kaptennya itu untuk menjadi nadi di jentera serangan.

Ini dibuktikan oleh pemain tengah itu apabila tampak tenang bergerak bersama Amri dan Kagayama disamping turut dibantu kelicikan pemain yang diberikan kebebasan dan mobil di jentera tengah, Saddil Ramdani.

Disebalik tekanan oleh tuan rumah, Sabah beroleh jaringan pendahuluan hasil tandukkan terbang Baddrol. Saddil bijak mencipta ruang buat dirinya untuk membuat hantaran lintang rendah untuk ditanduk oleh Baddrol pada minit ke-22. Percaturan berani dan berhasil Sabah yang telah diilhamkan oleh Kim Swee malam tadi.

Di awal babak kedua, Penang mempamerkan sinar kebangkitan apabila T. Saravanan berjaya mencipta jaringan penyamaan di minit ke-52. Hantaran lintang Endrick dari sebelah kanan gagal disambar Casagrande, namun Saravanan yang berada di far post memanfaatkan peluang yang didapatinya untuk meledak gol pertama.

Selepas jaringan itu, Sabah mengamuk di Bandaraya dengan menghasilkan tiga jaringan menerusi bek tengah, Jackson, Baddrol Bakhtiar dan Stuart Wilkin dalam tempoh 10 minit. Bermula pada minit ke-58, hasil hantaran Saddil Ramdani disentuh mudah oleh Jackson untuk menewaskan Khatul Anuar buat pelawat mendahului aksi.

Minit ke-76, Hilal El-Helwe akhirnya menemui sentuhan jaringan buat Harimau Kumbang. Hantaran lintang pemain gantian. K. Thivandaran berjaya disentuh Casagrande sebelum menemui Hilal yang tidak dikawal untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua. Dan setakat itu sahaja fasa kebangkitan Harimau Kumbang.

“Alhamdulillah dengan kemenangan pasukan Sabah pada malam ini. Sasaran saya malam ini adalah ingin menjaringkan gol dan ingin menghadiahkan jaringan ini kepada anak isteri saya yang sanggup datang dan memberi saya lebih bersemangat untuk bermain. Dan saya juga sasarkan pada malam ini adalah untuk menjaringkan gol dan memastikan Kedah berada di kedudukan… Sabah di kedudukan kedua.”

Baddrol Bakhtiar, ‘match reaction’ Penang FC v Sabah FC

Kesilapan Baddrol tiada sebarang masalah kerana kita tahu hatinya sentiasa ada untuk Kedah waima sudah berhijrah ke Sabah pada musim ini. Dalam saingan Liga Super setakat ini, beliau sudah berhasil meledak tiga gol untuk membantu The Rhinos mengejutkan banyak pihak dengan berada di tangga kedua Liga Super 2022.

Tersasulnya Baddrol untuk membantu Kedah dilihat tepat dengan situasi Kedah yang bergelut musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN