Analisis Media Vietnam Anggap ‘Mirror Tactic’ Brad Maloney Ancaman Utama Ke Final

Media Vietnam menganggap skuad Malaysia B-23 kendalian Brad Maloney sebagai lawan yang sukar.

Namun demikian sebuah artikel analisis taktikal oleh The Thao menganggap Park Hang-seo tetap memiliki kelebihan kerana memiliki barisan pemain yang lebih berkualiti berbanding Malaysia.

Malaysia akan berhadapan dengan Vietnam pada malam esok di Stadium Viet Tri.

Selain daripada barisan pemain lawan, skuad Brad Maloney turut akan berhadapan dengan tidak kurang 20,000 penyokong yang akan memenuhi stadium di Phu Tho itu.

Analisis media Vietnam

Menurut analisis The Thao perkara yang menyebabkan Malaysia mampu menyukarkan laluan mereka ke perlawanan akhir nanti adalah disebabkan oleh taktikal yang digunakan oleh Brad Maloney.

Seperti mana Vietnam, Malaysia juga menggunakan tiga pemain pertahanan tengah yang sentiasa bersedia memintas bola ketika lawan melakukan serangan.

Sumber: The Thao

Malah Malaysia juga dikatakan memiliki kelemahan sama seperti Vietnam kerana tiga pemain pertahanan tersebut sukar membantu pasukan ketika menyerang.

Ini kerana kedua-dua pasukan bermain secara selamat untuk mengelakkan serangan balas pantas pasukan lawan.

3-4-3 dan 3-5-2

Berdasarkan analisis dan pemerhatian The Thao, Malaysia menggunakan sistem 3-4-3 ketika menumpaskan Thailand, tetapi mengubahnya kepada 3-5-2 ketika berhadapan Kemboja.

Kecenderungan mengubah sistem permainan berdasarkan keperluan ini juga dikatakan sama dengan apa yang kerap dilakukan oleh Park Hang-seo.

Kedua-dua pasukan juga memiliki pemain penyerang No.9 yang memiliki ketinggian seperti Hadi Fayyadh (Malaysia) yang disamakan dengan Tien Linh (Vietnam).

Sumber: The Thao

Ancaman kedua-dua pasukan pula datangnya daripada dua bek sayap yang rajin melakukan gerakan dari bahagian sisi padang sebelum melakukan hantaran lintang.

Secara taktikal, Brad Maloney dilihat menggunakan ‘mirror tactic’, dan The Thao berpendapat ini akan menyukarkan tugas Park Hang-seo dan anak buahnya.

Ramalan media Vietnam

The Thao turut meramalkan sistem yang bakal digunakan oleh Brad Maloney dalam perlawanan esok. Malaysia dijangka akan menggunakan sistem 3-4-3 sekiranya mengerah khidmat Luqman Hakim.

Pemain yang berpengkalan di Belgium itu dilihat sebagai pemain yang mampu menghadirkan ancaman sebagai penyerang sayap kiri.

Maloney dijangka akan menggunakan sistem 3-5-2 sekiranya Luqman tidak diturunkan atau dikeluarkan ketika perlawanan.

Perkara sama juga dijangka akan berlaku di dalam kem Vietnam sekiranya Park Hang-seo mahu menurunkan Cong Phuong atau Phan Van Duc.

Corak permainan agresif dan pantas barisan pemain Harimau Malaya B-23 turut dilihat perkara yang sama dimiliki oleh pasukan Vietnam.

Sumber:

Leave a Reply