Pengurus pasukan Liga Premier Negeri Sembilan, Abdul Razak bin Mohd Idrus melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan prestasi yoyo pasukannya pada musim ini.
Menurut Abdul Razak (gambar bawah), prestasi Negeri Sembilan tidak konsisten dan telah jelas terbukti apabila pasukan tidak pernah menang dua kali berturut-turut pada musim ini. Ini walaupun pelbagai program latihan telah dilakukan oleh ketua jurulatihnya, Sazali Saidun.
Abdul Razak turut kecewa dengan prestasi beberapa pemain, terutamanya pemain import. Walaupun 90 peratus pemain dikekal pada musim ini, tetapi pasukan tidak memanfaatkan peluang yang ada dan sering hilang fokus di dalam perlawanan.
Ini menyebabkan pasukan mudah dibolosi sehingga mendapat perbezaan jaringan -7 setakat ini.
“Sebenarnya saya masih kecewa dengan keputusan perlawanan kita semasa bertemu Kuching FA yang menyebabkan kita tewas di tempat sendiri. Walhal sebelum ini kita dah menang 2 perlawanan di halaman sendiri selepas saingan Liga Malaysia bermula 26 Ogos lalu.
“Walau bagaimanapun, saya berharap agar pasukan dapat bekerja keras dan kekal fokus untuk perlawanan terakhir Liga Premier menentang Sarawak United. Ini agar kita dapat melayakkan diri ke Piala Malaysia 2020. Jika tidak layak, saya terpaksa menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.
Ketika ini Negeri Sembilan menduduki tangga kelapan liga dengan 11 mata selepas mencatatkan 3 kemenangan, 2 seri dan 5 kekalahan.
Untuk perlawanan akan datang, Negeri Sembilan akan menetang Sarawak United. Perlawanan akan berlangsung pada hari Jumaat ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.