David James merupakan bekas penjaga gol England dan beberapa kelab Premier League – paling dikenali di Liverpool dan Portsmouth. Legasinya di Premier League cukup besar.
Beliau memegang rekod penampilan Premier League keempat terbanyak (572 penampilan); di belakang Gareth Barry, Ryan Giggs dan Frank Lampard. Sebelum Petr Cech memecahkan rekodnya, James merupakan penjaga gol paling banyak mencatat clean sheet iaitu sebanyak 169 perlawanan.
Meskipun kariernya panjang, bekas pengurus Kerala Blasters ini hanya memenangi dua piala sahaja. Pertama, League Cup bersama Liverpool pada musim 1994/1995. Kedua dan mungkin paling diingati ramai peminat, FA Cup bersama Portsmouth pada musim 2007/2008.
Walaupun begitu, karier David James di Liverpool tetap dikenang-kenang oleh peminat The Reds. Masakan mereka boleh lupa kenangan beliau menyarung jersi no.1 Liverpool dalam 277 perlawanan. Ini belum lagi dikira memorinya bergelar Spice Boys bersama Steve McManaman, Jamie Redknapp dan Robbie Fowler.
Pada hujung minggu ini iaitu 7 dan 8 Mac 2020, David James akan turun ke Malaysia sempena sesi meet and greet dengan penyokong Liverpool di Football Republic Sunway Pyramid dan Al-Ikhsan The Curve.
Jadi sempena kedatangannya, mari kita lihat 10 fakta menarik tentang karier David James di Liverpool:
1. Houllier jurulatih paling berpengaruh dalam kariernya
Gerard Houllier merupakan salah seorang bos David James ketika berkhidmat untuk Liverpool selama 7 tahun (dua yang lain adalah Graeme Souness dan Roy Evans) dan satu-satunya bos berbangsa asing dalam kariernya.
Meskipun tempoh Houllier bergelar bos James singkat, beliau mendedahkan pengurus berbangsa Perancis itu ‘jurulatih paling berpengaruh dalam hidup saya’.
“Bila saya hilang tempat kesebelasan utama kepada Brad [Friedel], saya marah sampai tak mahu salam tangan Brad. Kemudian Houllier tegur saya. Dia kata bila dia beli Brad dan gugurkan saya, dia buat untuk Liverpool. Semuanya untuk Liverpool. Dia ajar saya jadi profesional.”
2. Obses dengan statistik
James mengaku sejak kecil beliau obses dengan statistik supaya beliau boleh memecahkan rekod orang.
“Ketika di Liverpool, saya pernah obses dengan rekod Ray Clemence yang hanya bolos 14 gol dalam satu musim. Apabila saya bolos 10 gol di Liverpool, saya berhenti separuh jalan. Susah nak pecah rekod bila main untuk Liverpool.”
“Kemudian saya obses dekat rekod penampilan liga paling banyak pula. Di Liverpool, Phil Neal hanya terlepas 1 perlawanan sahaja dalam masa 8 tahun. Saya terpaksa mengaku kalah bila saya hilang tempat kepada Brad [Friedel].”
3. Gerrard menyampah dengan lukisannya
James memberitahu walaupun bapanya merupakan pelukis dan pembuat arca terkenal di Jamaica, itu bukan sebab utama beliau minat dengan seni melukis.
“Minat itu datang secara semulajadi. Masa saya belajar di akademi Watford, saya pernah lukis potret Rod Thomas (bekas pemain Watford). Kemudian cikgu suruh saya lukis 12 pemain untuk dibuat hiasan kalendar.
“Saya teruskan minat sama di Liverpool. Satu hari saya lukis potret Stevie G lengkap dengan potongan rambut mangkuknya – dia tak suka dan menyampah melihatnya.”
4. Cuba tiru Shearer jadi pembodek bos
Semasa menjadi pengurus Liverpool, Houllier pernah mengharamkan permainan kad daun terup yang biasanya dimainkan oleh pemain Liverpool di belakang bas semasa berjalan ke perlawanan away. Houllier percaya permainan tersebut menganggu konsentrasi dan fokus sebelum perlawanan bermula.
James yang sentiasa duduk di belakang bas menyampah dengan orang yang selalu duduk di barisan depan bas. Salah satunya Alan Shearer dalam bas skuad England.
“Saya menyampah dengan Alan [Shearer] kerana dia suka duduk depan bas. Saya rasa dia duduk depan kerana nak bodek bos. Tapi sebenarnya dia nak fokus. Itu sebab dia banyak jaringkan gol.”
“Satu hari, bila saya hilang tempat kesebelasan utama di Liverpool, saya cuba tiru Alan dan duduk depan. Saya cuba buat lawak dengan Houllier untuk bodek supaya dia bagi saya main. Dia suka lawak saya. Tapi dia tetap tak bagi saya main.”
5. Ramai pemain jealous dengan Macca
Sebaik sahaja musim tamat, ramai pemain seperti James akan pergi bercuti ke tempat yang mempunyai gimnasium atau membawa pelatih peribadi mereka bercuti sekali. Ini adalah untuk memastikan berat badan mereka tidak naik mendadak akibat diet buruk semasa bercuti.
Tapi lain ceritanya bagi Steve McManaman.
“Saya masih ingat ketika di Liverpool, ramai pemain jealous dengan Macca sebab dia susah naik berat badan. Dia makan sandwich sosej banyak mana pun, berat dia tetap kekal. Pemain lain baru makan lebih sikit masa cuti, terus naik berat badan.”
6. Diajar benci Manchester United oleh pemain Liverpool
Apabila baru menyertai Liverpool pada 1992 dari Watford, James mengalami kejutan budaya – terutamanya dalam hal permusuhan Liverpool dengan Man United.
“Konsep permusuhan Liverpool dengan United memang pelik bagi saya sebab walaupun saya main bola, saya bukan peminat tegar. Saya diajar tentang permusuhan dengan United oleh penyokong dan pemain anak jati.”
“Saya tak kata saya benci pemain United. Tapi lama-lama saya benci sebab diajar. Di kem England, pemain Liverpool akan duduk di satu meja. Pemain United di meja lain. Kedua-dua kumpulan cuba mengelak sesama mereka.”
7. Pelik dengan Roy Evans
James mengaku jika Liverpool mempunyai mentaliti sama seperti Man United, musim 1994/1995 mereka akan jadi lebih berjaya.
“Pemain United pantang kalah. Mereka macam anjing garang. Liverpool pula nampak santai. Kami banyak leka lepas menang League Cup.”
“Saya masih ingat penyanyi Robbie Williams naik bas dengan kami semasa pergi ke Aston Villa. Dia juga dibenarkan turun padang dengan kami sebelum perlawanan. Dia lelaki yang baik. Tapi kenapa Roy Evans bagi dia masuk dalam bas pasukan? Saya rasa [Alex] Ferguson takkan benarkan insiden ini berlaku.”
8. Kesilapan semasa lawan Newcastle ubah cara permainannya
Sejak dari kecil, James belajar seni menjaga gol dengan menonton aksi Peter Shilton. Beliau mendapati lagenda penjaga gol England itu tidak suka menumbuk bola keluar. Jurulatihnya semasa di Watford, Alan Hodgkinson turut mengajarnya supaya sentiasa ‘menangkap bola’ – bukannya menumbuk bola.
Tetapi ketika kemenangan 4-3 Liverpool ke atas Newcastle pada musim 1995/1996, James melakukan tiga kesilapan bodoh disebabkan oleh prinsip ‘tangkap bola, bukan tumbuk bola’.
“Jika saya tumbuk bola tersebut, bukannya cuba menangkap, mungkin kesilapan itu tak berlaku. Orang takkan bising. Perlawanan menentang Newcastle itu detik penting dalam karier saya.”
“Pada ketika itulah saya buat keputusan; mungkin tangkap semua bola bukan idea yang baik. Mungkin tumbuk bola lagi bagus. Masa saya cuba tangkap bola tandukan Gary Speed ketika lawan Bolton, pengulas tak puji pun. Mungkin kalau saya tumbuk bola tersebut, pengulas akan cakap itu aksi menyelamat hebat.”
9. Graeme Souness haramkan pemain Liverpool main golf
Pada tahun 1996, yuran perpindahan mahal Alan Shearer (£15 juta) membuatkan beliau tidak dibenarkan naik pesawat penerbangan sama dengan rakan sepasukannya yang lain. David James memberitahu ini kerana syarikat insurans penerbangan mengenakan bayaran premium insurans perjalanan yang sangat mahal jika Shearer mahu naik kapal terbang sama.
“Syarikat insurans selalunya akan minta pemain bola sepak bayar premium yang terlampau mahal disebabkan pekerjaan kami. Itu sebabnya tak ramai pemain berani cuba sukan lasak lain di waktu lapang. Mereka selalu main golf.”
“Tapi masa Graeme Souness jadi bos di Liverpool, dia larang kami main golf kerana dia pernah cedera tulang belakang main golf. Dia takut kami mengalami kecederaan sama.”
10. Hisap 20 batang rokok sehari di Liverpool
David James mula merokok seawal umur 15 tahun. Sedar tak sedar, beliau mula ketagih dan sudah biasa hisap 20 batang rokok sehar. Beliau juga selalu mengejek orang yang menghisap rokok ‘light’.
Walaupun tabiat itu dilarang di akademi Watford, beliau menjadi semakin berani apabila terjumpa puntung rokok semasa mengemas bilik persalinan away selepas perlawanan home pasukan senior menentang Manchester United.
“Saya cakap kepada diri sendiri: jika pemain United coleh merokok, maknanya taklah teruk sangat kesan merokok. Saya juga pernah dengar cerita Ossie Ardiles hisap 40 batang rokok sehari.”
“Bila saya masuk Liverpool, saya jadi berani merokok secara terbuka dalam bas kerana pengerusi kelab buat benda sama. Jika ada pemain lain mengeluh, saya akan bagitahu: apa bezanya bila kau pergi kelab malam? Itu tabiat buruk yang saya kesali.”
Jumpa David James dan dapatkan diskaun 25%!
Seperti yang kami bagitahu tadi, David James akan turun ke Football Republic Sunway Pyramid pada 7 Mac 2020, jam 2 petang dan Al-Ikhsan The Curve pada 8 Mac 2020, jam 2 petang untuk bertemu dengan anda penyokong Liverpool semua!
Di Football Republic Sunway Pyramid nanti, anda juga boleh membida dua memorabilia terhad berikut pada harga permulaan RM2,800:
- Jersi Liverpool yang telah ditandatangani pemain
- Set Kotak Peringatan 1978 yang ditandatangani lagenda Liverpool, Kenny Dalglish
Dapatkan juga barangan Liverpool FC pada diskaun hebat 25% di kedua-dua tempat!
Jumpa ada di sana!