Bekas penyerang import Terengganu, Jordan Mintah memberi bayangan akan terus kekal di Malaysia untuk saingan musim hadapan, selepas beliau sah tidak lagi bersama Sang Penyu.
Sepanjang bersama Terengganu, Mintah lebih kerap digunakan untuk pasukan ‘feeder’, walaupun tampil dengan aksi cukup menyakinkan di posisi hadapan.
Mintah bukan lagi nama asing dalam bola sepak negara biarpun lebih banyak beraksi di saingan Liga Premier pada musim lalu.
Pemain kelahiran Ghana ini pada musim 2021 telah meledak 16 gol keseluruhan untuk merangkul gelaran penjaring terbanyak Liga Premier.
Dua Musim lalu juga menyaksikan Mintah menjadi antara tonggak memainkan peranan penting buat Kuala Lumpur City menerusi status pinjaman dengan penyerang itu membawa pasukan tersebut mara ke pentas akhir saingan AFC.
Apapun, momentum Mintah bersama Terengganu sedikit terganggu pada tahun lalu bawah Tomislav Steinbruckner dengan beliau lebih banyak beraksi dalam saingan MFL berbanding Liga Super.
Untuk saingan hadapan, Mintah menjadi antara beberapa nama pemain digugurkan pasukan tersebut yang menyatakan mereka ingin berjimat berbanding tahun lalu.
Tampil dengan rekod yang sudah terbukti dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), sudah tentu beberapa kelab tempatan kini mengintai peluang untuk cuba menandatangani penyerang tersebut.
Walaupun begitu, Mintah masih belum menyatakan kepada kami di Semuanya BOLA mengenai tawaran semasa pasukan baharu untuk dirinya pada saingan hadapan.
Jika dilihat pada situasi pasukan yang dianggap tumpul di posisi serangan musim lalu, Perak antara yang berpeluang untuk menandatangani penyerang tersebut.
Selain Perak, Penang juga memiliki potensi untuk menandatangani khidmat Mintah, selepas penyerang mereka pada tahun lalu, Abdul Abdeen Temitope tampil dengan kualiti permainan cukup mengecewakan.
Negeri Sembilan menjadi antara pasukan yang cukup mengecewakan di posisi serangan mereka pada tahun lalu, dan jika kewangan kelab tersebut stabil, tidak salah untuk skuad Hoben Jang Hoben mendapatkan sentuhan Mintah.
Apapun, sehingga kini masih belum timbul sebarang kenyataan mengenai hala tuju Mintah untuk saingan pada musim hadapan dalam kancah Liga M.
Hadir dengan kualiti pemusnah di hadapan gol serta licik mengatasi lawan, Mintah boleh dianggap sebagai antara aset serangan terbaik sebenarnya untuk cuba ditandatangani mana-mana pasukan.