Pengendali baharu Selangor, B. Satiananthan memuji prestasi skuad Harimau Malaya selepas menewaskan Myanmar dengan jaringan 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF semalam sekaligus menempah tiket ke separuh akhir.
Bercakap kepada Stadium Astro, beliau yang pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan yakin dengan kemampuan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk melangkah ke perlawanan akhir dan mengulangi pencapaian tahun 2010.
Malah, Satia turut mempelak jurulatih Myanmar yang dilihat memperlekehkan kemampuan skuad negara sebelum perlawanan bermula.
“Jurulatih Myanmar kata Malaysia tiada penyerang tapi apabila sudah dibolosi tiga gol, dari mana datangnya.
“Pendapat saya, Malaysia di landasan terbaik kerana penguasaan bola dan permainan, kami lebih baik berbanding lawan. Semangat juga luar biasa berbekalkan taktik yang diterapkan Cheng Hoe. Ia amat sesuai,” ujar Sathianathan.
Dollah Salleh bangga dengan pencapaian Norshahrul
Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui bangga melihat pencapaian anak buahnya, Norshahrul Idlan Talaha yang terus memukau di pentas Piala Suzuki AFF bersama Harimau Malaya selepas meledak empat jaringan dalam saingan peringkat kumpulan.
Sebelum ini, Dollah pernah meramalkan Norshahrul akan mengegarkan saingan Piala AFF tahun ini dan ternyata tekaannya jelas tepat.
Malah, beliau berasa sangat puas melihat kelibat Norshahrul yang seolah-olah kembali menjelmakan sentuhan seperti mana ketika Piala Suzuki AFF 2010 dan 2014.
“Terbukti dan saya selalu pesan kepadanya bahawa apabila berada di tahap seperti ini, dia perlu kekalkan.
“Saya akui ketika awal musim sewaktu ingin mendapatkan sentuhannya semula, kadang-kadang kami juga kecewa, ditambah dengan kecederaan yang dialami. Saya harap ia dapat dikekalkan beberapa tahun lagi,” kata Dollah.
Lawan Malaysia di peringkat separuh akhir akan diketahui pada malam ini. Kebanyakan penyokong meramalkan Malaysia akan bertemu juara bertahan, Thailand.