Satiananthan: Dah 62 Tahun Merdeka, Salahkah Saya Letak Pemain ‘Kel*ng’?

Mungkin terlalu geram dengan komen-komen biadab dan berbaur perkauman yang sering dilemparkan kepadanya serta beberapa pemain di media sosial, Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan akhirnya bersuara mengenai perkara tersebut.

Ketika menjawab soalan dalam sidang media selepas perlawanan mengenai prestasi pemainnya ketika berdepan Perak dalam perlawanan kedua Liga Super, jurulatih itu memuji persembahan beberapa pemainnya termasuk pemain pertahanan kiri, K. Prabakaran.

Namun beliau tidak dapat menerima tuduhan yang mendakwa pemilihan Prabakaran untuk beraksi dalam kesebelasan utama adalah disebabkan pemain itu sebangsa dengannya.

“Dalam Facebook, orang kata saya pilih bulu. Saya nak tanya, adakah salah saya letak seorang kel*ng macam saya? Kel*ng bukan pemain bola?

“Cara mereka tulis [di Facebook] macam tak pergi sekolah langsung. Dah 62 tahun kita merdeka, masih lagi maki gunakan [perkataan] kel*ng, anjing. Macam itukah penyokong?

“Saya [umur] dah 62 tahun, saya datang dari kampung Melayu, saya duduk dengan orang Melayu, tetapi saya tak pernah dengar [ejekan perkauman] macam ini.

“Tapi orang kutuk dia [Prabakaran], macam orang tak sekolah. Kalau sekolah pun mungkin campur dengan Melayu sahaja, tak pernah bercampur dengan kel*ng.” tegas Satiananthan.

Menurut Satiananthan, Sewaktu era kegemilangan Selangor satu ketika dahulu, percampuran pemain pelbagai bangsa adalah perkara biasa dan telah menjadikan The Red Giants sebuah pasukan yang hebat serta tiada tandingan.

Malah ketika beliau mengendalikan skuad pasukan Kelantan, beliau pernah membawa masuk dua orang pemain berbangsa India dan berjaya membantu pasukan tersebut muncul juara Piala Malaysia pada 2010.

“Selangor pada tahun-tahun mereka berjaya, empat India, tiga Cina, empat Melayu, main dalam satu pasukan, mereka menjadi juara.

Kredit Foto: Viweb School

“Di Kelantan, saya letak dua kel*ng, mereka jadi juara. Itu di Kelantan, yang sepatutnya main orang [Melayu] Kelantan. Di Selangor, saya letak satu dua pemain India, [penyokong] tak boleh terima.

“Kalau orang lain buat silap, ‘mat saleh’ buat silap, tak ada apa-apa. Tapi kalau kel*ing buat silap, semua nampak. Hanya disebabkan saya kel*ng, dua pemain kel*ng itu ‘anak buah’ saya, saya pilih bulu.”

“Sepatutnya perkataan kel*ng dan anjing jangan tulis di Facebook, saya akan lapor pada polis!” tegas Satiananthan.

Jurulatih kelahiran Perak itu nyata kecewa dengan masalah perkauman yang berlaku dalam sukan bola sepak. Menurutnya, pemilihan Prabakaran bukan kerana faktor bangsa, tetapi disebabkan pemain tersebut sememangnya beraksi di posisi berkenaan.

Beliau sebelum ini pernah meminta seorang lagi pemain pertahanan kiri dari pihak pengurusan Selangor, namun sehingga hari ini tiada pemain baharu yang dibawa masuk.

“Cakap dengan saya [di posisi pertahanan kiri] siapa yang saya ada? Saya cuma ada Prabakaran, kemudian saya ada minta seorang lagi pemain, saya tak dapat.

“Takkan saya nak letak budak yang orang sibuk cakap AMD AMD AMD [Azrin Afiq], belum lagi, dia masih perlukan 2 atau 3 tahun, itu pun jika dia tak ‘besar kepala’.

“Mungkin saya boleh letak dia [Azrin] 10 atau 20 minit terakhir, itu cara nak membangunkan bakat seorang pemain [muda], jangan ‘bunuh’ dia terus. Siapa lagi yang saya ada? Saya nak letak seorang lagi pemain, Thamilmaran, India juga, orang akan kata ‘anak buah’ saya, ‘anak saudara’ saya, jadi isu lagi,” katanya lagi.

Masalah perkauman dalam bola sepak bukan sahaja berlaku di Malaysia. Beberapa negara di Eropah sejak kebelakangan ini juga sedang menghadapi masalah yang sama apabila pemain berkulit hitam sering menjadi sasaran ejekan perkauman.

Oleh itu, badan induk mahupun pasukan-pasukan bola sepak di negara-negara tersebut mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Hukuman yang berat menanti pesalah seperti larangan masuk ke stadium seumur hidup. Malah ada sebahagian kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan didakwa di mahkamah.

Mungkin sudah tiba masanya pasukan bola sepak di negara ini mengambil tindakan sama untuk memastikan masalah perkauman tidak terus mencemarkan sukan bola sepak tempatan.

Dalam perlawanan pada Sabtu, Perak terlebih dahulu di depan menerusi penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi seawal minit kesembilan.

Namun pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-31 hasil jaringan tandukan terbang penyerang import, Ifedayo Olesegun yang menerima hantaran cantik Sandro da Silva.

Kredit Foto: FA Selangor

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN