Segalanya serba tidak menjadi bagi skuad Gergasi Merah apabila mudah dibelasah oleh PKNS FC, 4-0 di halaman sendiri semalam. Selepas tiga perlawanan Liga Super, Selangor masih gagal meraih kemenangan yang pertama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokongnya.
Mengulas mengenai perlawanan semalam, pengendali skuad itu, B. Satiananthan bertanggungjawab di atas kekalahan besar tersebut selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri ketika menentang Felda United dan PJ City FC sebelum ini.
“Saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini. Daripada jentera pertahanan hingga serangan gagal mempamerkan aksi yang terbaik,” katanya dalam Stadium Astro.
PKNS FC jauh lebih baik daripada Selangor
PKNS FC yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Datuk K. Rajagobal dilihat lebih banyak menjelmakan bahaya buat jentera pertahanan Selangor pada perlawanan ini.
Kualiti yang dimiliki oleh gandingan serangan Kpah Sherman dan Gabriel Guerra serta Romel Morales jelas menjadi senjata utama buat PKNS FC.
Malah, penguasaan permainan yang ditampilkan Selangor pada babak pertama langsung tidak dihiraukan para pemain PKNS FC yang lebih bijak mencipta serangan berbahaya.
Guerra tidak menunggu lama untuk memberikan ancaman apabila beliau melepaskan rembatan hasil sepakan percuma pada minit kedua perlawanan bagi menguji ketangkasan Khairulazhan Khalid di gawang Selangor.
Empat minit selepas rehat, PKNS menggandakan kelebihan menerusi Kpah Sean Sherman yang bijak memperdayakan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan.
Derita tuan rumah berterusan apabila giliran Vathanaka menghasilkan gol buat PKNS pada minit ke-79 sebelum Romel Morales melengkapkan kemenangan pasukan The Red Ants.
“Saya tidak menjangka kemenangan dengan empat jaringan dalam perlawanan ini. Tetapi saya memiliki keyakinan selepas apa yang dipamerkan pemain-pemain dalam sesi latihan,” kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.