FAM Akan Siasat Klip Video Kata-Kata Kesat Dollah Salleh

Walaupun badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) semalam sekadar memberi peringatan kepada ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengenai tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat selepas perlawanan menentang Melaka United kelmarin, namun beliau belum tentu akan terlepas daripada hukuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau berkata sebarang hukuman ke atas Dollah akan diputuskan selepas badan induk itu meneliti klip video yang menunjukkan Dollah enggan bersalaman dengan jurulatih Melaka United, Zainal Abidin lalu mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Tindakan Dollah tersebut adalah respons kepada rasa kecewanya selepas Melaka United berjaya menyamakan kedudukan di minit akhir melalui sepakan penalti Safiq Rahim.

“Kami tidak akan mengenakan tindakan yang tidak munasabah sekiranya perkara tersebut bukan bertujuan menyerang integriti mana-mana pegawai perlawanan.

“Kami akan mengkaji klip video itu dan apa tujuan di sebalik perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Foto: FAM

Dollah sebelum ini pernah digantung selama 18 bulan dan didenda sebanyak RM30,000 oleh FAM pada tahun 2017 kerana mengkritik mutu pengadilan. Bagaimanapun, MFL mengingatkan beliau supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

“Kami perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.

“Untuk kes ini, MFL akan memberikan peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Dua jurulatih pasukan Liga Super diberi surat tunjuk sebab

Sementara itu, Stuart Ramalingam mengesahkan FAM telah menghantar surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih Liga Super berhubung kritikan terbuka mereka terhadap pegawai perlawanan Liga Malaysia.

Beliau menjelaskan tindakan berkenaan dibuat badan induk itu bagi menjaga integriti pengadil dan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

“FAM sekarang mengambil langkah tegas dengan mana-mana jurulatih atau pihak pengurusan yang membuat komen yang mungkin tidak patut mengenai pegawai perlawanan atau apa-apa keputusan FAM.

“Saya tak nak dedahkan siapa yang FAM bagi surat itu, tapi memang dari minggu pertama (hingga sekarang) FAM sudah mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepada dua pengurus (jurulatih) pasukan Liga Super.

“Selalunya kita bagi tempoh seminggu untuk mana-mana jurulatih untuk memberikan maklum balas kepada kami,” katanya kepada Berita harian.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Shahrin dan penolongnya, Azmi Mohamed dapat kedengaran membantah keputusan pegawai perlawanan ketika insiden pengadil cedera dalam aksi Liga Super 2019 menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Berdasarkan laporan media tempatan, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dan jurulatih Selangor, B Sathianathan didakwa mengkritik pengadil perlawanan Liga Super.

Selain itu, Stuart menjelaskan tindakan itu bukan sesuatu yang pelik kerana di liga luar negara juga badan induk bola sepak mereka mengambil tindakan sama ke atas jurulatih.

“Jika kita lihat baru-baru ini Jurgen Klopp (jurulatih Liverpool) pun kena (tindakan). Anda boleh ambil bukti daripada liga lain (mengenai tindakan terhadap) sebarang kenyataan yang keluar melalui media sama ada daripada jurulatih atau mana-mana pihak pengurusan mengenai pegawai perlawanan,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN