5 Sebab Mengapa B. Sathianathan Adalah Pilihan Tepat Kendali FA Selangor

B. Sathianathan

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akhirnya menamatkan spekulasi mengenai siapa pengendali baharu mereka untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

B. Sathianathan akhirnya diumumkan oleh FAS secara rasmi melalui satu klip video khas yang dimuat naik di laman media sosial pasukan itu – disediakan khusus untuk memperkenalkan jurulatih berusia 60 tahun tersebut.

Melalui artikel ini kami ingin memberikan lima sebab utama mengapa bekas ketua jurulatih kebangsaan ini adalah pilihan paling tepat untuk mengemudi Selangor di pentas Liga Malaysia mulai musim hadapan.

Pengalaman di Liga Malaysia

Kami sangat yakin antara pertimbangan utama yang dilakukan oleh FAS untuk memilih ketua jurulatih mereka untuk musim hadapan ialah aspek pengalaman.

Sathianathan bukan pilihan pertama Selangor – setelah FAS sebelum ini pernah mengakui telah mengikat kontrak bersama Mehmet Durokovic yang kemudiannya membuat pusingan U untuk kekal bersama Perak.

Jika dibandingkan dari segi profail, Sathianathan juga adalah salah seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas di saingan Liga Malaysia – bermakna beliau amat memahami tuntutan dan selok belok cabaran yang bakal menanti.

Selain pernah bergelar jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan juga pernah mengendalikan Kelantan, ATM FA, dan Felda United sebelum bersedia menyahut cabaran untuk menyertai Selangor pada musim akan datang.

Mampu memahami visi dan misi RMS

Jika anda adalah seorang penyokong setia pasukan The Red Giants, anda pasti mempunyai 1001 sebab untuk berasa teruja dengan cabaran Selangor di Liga Malaysia pada musim akan datang.

Salah satu sebabnya, ini adalah musim pertama Selangor berada di bawah pengurusan D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

Penglibatan Raja Muda Selangor (RMS) di dalam bola sepak sebenarnya bukan perkara baharu. Selangor Champions League misalnya, adalah pertandingan bola sepak peringkat komuniti disifatkan sebagai paling kompetitif di negara ini – merupakan kelolaan Football Selangor yang berada di bawah naungan baginda.

Kredit: Football Selangor

Bercakap mengenai visi dan misi yang ditanam oleh Tengku Amir, B. Sathianathan cukup teruja:

“Semasa saya menghadap Tuanku RMS, saya sangat tertarik dengan perancangan Tuanku untuk mengembalikan aura Red Giants. Barisan pengurusan baru Selangor telah menunjukkan landasan yang jelas untuk memajukan bolasepak di negeri ini.

“Semua perancangan FAS nampaknya berada di landasan yang betul jadi saya sangat berbesar hati dan ingin mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan ini,” ujar jurulatih itu kepada media FAS dalam satu temubual.

Sasaran peribadi B. Sathianathan

Sepanjang bergelar jurulatih di saingan Liga Malaysia, B. Sathianathan telah berjaya membantu pasukan yang beliau sertai untuk menjulang beberapa kejuaraan.

Pada 2010, beliau membantu Kelantan menjulang kejuaraan Piala Malaysia. Ini diikuti dengan kejuaraan Liga Premier pada 2012 bersama ATM FA. Sathianathan mengulangi pencapaian yang sama apabila muncul juara saingan divisyen kedua negara itu bersama Felda United pada musim lalu.

Selepas Kelantan, Selangor adalah pasukan bola sepak negeri seterusnya yang disertai oleh Sathianathan – sudah tentu memberi cabaran sedikit berlainan yang akan memberikan ruang untuk beliau membuktikan dirinya sebagai antara pengendali terbaik di kalangan jurulatih tempatan sedia ada di Liga Malaysia.

“Untuk nadi Red Giants iaitu para penyokong, saya berjanji yang saya dan barisan jurulatih Selangor akan memberikan komitmen yang terbaik untuk pasukan Selangor supaya kita menjadi pencabar yang terbaik dalam liga.

“Saya juga sangat mengharapkan sokongan dan bantuan untuk menaikkan semangat para pemain untuk memberi yang terbaik di atas padang,” jelas beliau.

Inovatif taktikal

Pengalaman adalah guru terbaik di dalam kehidupan. Begitu juga di dalam bola sepak. Mulai bergelar jurulatih di Liga Malaysia bersama MPPJ FC pada 2006, Sathianathan juga pernah diberikan tanggungjawab mengendalikan skuad B-23 negara yang menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 2007, Beliau kemudiannya diberikan peranan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan pada tahun yang sama.

Semua pengalaman tersebut juga pasti membantu Sathianathan di dalam memahami aspek taktikal bola sepak di Liga Malaysia. Untuk jurulatih kelahiran Perak ini, tidak keterlaluan untuk kami melabel beliau sebagai seorang jurulatih yang mempunyai inovasi di dalam aspek taktikal. Malah itulah kelebihan beliau selama ini untuk kekal kompetitif di saingan Liga Malaysia selama ini.

Keratan article oleh Four Four Two mengenai peranan Hairuddin Omar sebagai libero.

Antara yang menarik perhatian kami sehingga hari ini ialah bagaimana Sathiantahan memberikan peranan libero kepada bekas penyerang negara, Hairuddin Omar di dalam sistem lima pertahanan ATM FA. Walaupun langkah itu tampak pelik pada mulanya – ia berkesan untuk mengelakkan mereka dari tersingkir kembali terus ke Liga Premier pada musim tersebut.

Jurulatih dengan personaliti

Sebut sahaja nama B. Sathianathan, anda pasti boleh menggambarkan bagaimana beliau berbicara ketika ditemubual oleh media. Kerana itu kami berpendapat Sathianathan adalah salah seorang jurulatih yang mempunyai personaliti yang menarik di Liga Malaysia.

Di sebalik kelembutan ketika menyusun bicara, jurulatih ini juga mempunyai perwatakan tegas dan mempunyai pendirian dalam sesuatu perkara. Ini juga bermakna Sathianathan adalah jurulatih yang mementingkan aspek disiplin di kalangan pemain.

Sathianathan

Bagi pasukan yang sedang melalui proses pembangunan semula seperti Selangor, tiada keraguan lagi mereka sememangnya memerlukan seorang pengendali yang mempunyai aura seperti Sathianathan.

Sathianathan boleh menjadi jurulatih yang digeruni pemain. Pada masa yang sama, beliau juga akan dihormati untuk apa yang beliau sanggup lakukan untuk pasukan dan pemain.

Penutup

Buat penyokong Selangor, ini tiba masanya untuk anda berdiri setia, bersatu hati di belakang pengurusan baharu FAS, barisan pemain, dan sudah tentu juga B. Sathianathan.

Jika semuanya berjalan dengan lancar seperti yang kita harapkan, sudah tentu Selangor mampu bangkit menjadi salah sebuah pencabar utama Liga Malaysia dan pertandingan Asia satu hari nanti.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN