Ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan menyatakan yang kejayaan menjuarai aksi 100Plus Liga Premier telah memberikan kepuasan yang luar biasa kepadanya.
“Pada orang lain, mungkin tiada apa yang perlu dilaungkan dengan kejayaan ini kerana ia sekadar Liga Premier.
“Malah, ramai yang kononnya sudah menjangka. Tapi bukan salah mereka beranggapan begitu kerana mereka tidak berada dalam situasi kami,” jelas Sathia kepada Berita Harian.
Ia bukan sesuatu yang mudah sebenarnya buat Sathia dan anak-anak buahnya untuk menjadi pasukan yang sepatutnya beraksi di Liga Super tetapi beraksi di Liga Premier.
Ia juga menjadikan mereka pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga Premier musim ini. Serba lengkap di setiap posisi dengan memiliki barisan pemain terbaik di Malaysia.
Pemain seperti Shukor Adan, Farizal Harun, Hadin Azman, Wan Zack Haikal dan sebagainya sudah cukup memberi kekuatan untuk mereka melalui musim ini di Liga Premier.
“Apabila kami yang layak bermain dalam Liga Super tiba-tiba diturunkan ke Liga Premier, moral pemain jatuh merudum kerana terlalu kecewa.
“Ekoran keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) itu juga, ada pemain yang sepatutnya menyertai kami menarik diri pada saat akhir.
“Malah, beberapa pemain kami seperti Wan Zack (Haikal) cuba dipancing oleh pasukan lain,” ulasnya lagi mengenai rintangan yang dilaluinya sepanjang musim ini.
“Ia memberi cabaran besar kepada kami. Saya bersama staf kejurulatihan dan pengurusan serta pemain senior seperti Shukor Adan terpaksa bekerja keras untuk memulihkan semangat pemain serta memberi mereka keyakinan,” jelas Sathia.
Setakat 18 perlawanan, Felda menang 12 perlawanan dan hanya tewas sekali iaitu kepada pasukan MISC-MIFA dengan keputusan 0-3 serta terikat dengan keputusan seri dalam 5 aksi.
Felda telah sah bergelar juara Liga Premier dan meraih promosi ke Liga Super selepas menang 3-1 ke atas Sarawak pada Selasa dengan liga masih berbaki dua lagi perlawanan.
Mengulas mengenai cabaran bersaing di Liga Premier, Sathia menjelaskan bahawa pasukan-pasukan yang bersaing di situ bukanlah pasukan belasahan.
“Taraf pasukan Liga Premier sekarang tidak sama ketika saya menjadi jurulatih ATM dahulu. Ketika itu kami boleh membelasah lawan dengan jaringan besar.
“Tapi situasi sekarang amat berbeza kerana semua pasukan membuat persiapan rapi. Pasukan seperti Felcra, JDT II, PDRM dan MIFA sudah jauh meningkat berbanding musim sebelumnya.
“Jadi, kalau ada yang menyatakan kami menjuarainya dengan mudah, mereka silap kerana kejayaan ini diraih selepas menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sejak awal musim.
“Tanpa semangat dan komitmen semua pihak, ia tidak akan tercapai,” ujar Sathia lagi sambil menegaskan komitmen tinggi setiap pemain telah menjayakannya.