Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berpendapat pemain muda tempatan yang berusia bawah 23 tahun sepatutnya menyahut cabaran besar untuk beraksi di luar negara.
Bercakap kepada Berita Harian, beliau berharap pemain muda negara mengambil peluang beraksi di liga luar negara untuk menimba pengalaman dan mengetepikan seketika tawaran gaji lebih lumayan daripada pasukan Liga Malaysia.
Beliau percaya pemain akan mendapat tawaran gaji lebih tinggi selepas pulang ke Malaysia berdasarkan pengalaman mereka bermain di luar negara.
“Saya lebih suka jika pemain muda kita pergi (beraksi di liga luar). Kalau boleh jangan fikir dulu soal tawaran lumayan di sini (Liga M) kerana apa yang paling penting cari pengalaman.
“Selepas balik ke sini, pasti banyak pasukan berebut mahukan mereka. Kita ambil contoh Nazmi Faiz (Mansor), selepas pulang dari Portugal dia terus disambar PKNS FC malah jadi rebutan pasukan lain juga.
“Tapi, pemain muda ini ada yang takut kerana budaya negara luar yang berbeza, sebab itu mereka lebih rela tinggal dekat dengan keluarga dan kawan. Jadi nilai untuk kuatkan mental pemain ini perlu diterapkan di peringkat awal lagi,” katanya kepada Berita Harian.
Sebelum ini media tempatan melaporkan gaji kecil merupakan faktor utama pemain tempatan menolak tawaran untuk bermain di luar negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim sambil menjelaskan gaji yang ditawarkan oleh kelab Thailand kepada beberapa pemain Malaysia antara USD3,000 (RM12,000) hingga USD5,000 (RM20,000) sebulan.
Menurut Hafizan, jumlah itu menunjukkan pengurangan antara 40 hingga 50 peratus daripada gaji yang diperoleh pemain tempatan daripada kelab di Liga M.
“Memang ada beberapa kelab dari Thailand berminat dengan pemain Malaysia terutama yang bermain pada Sukan SEA lalu, cuma daripada segi tawarannya tak berapa sesuai dengan apa yang diminta.
“Jadi, saya menafikan dakwaan yang pemain kita tiada kualiti atau sengaja tak nak keluar beraksi di liga luar, mereka tak nak keluar sebab faktor macam ini.
“Mungkin ramai orang tak faham. Contoh terbaik adalah jika kita ditawarkan bekerja di luar negara tapi pada masa sama kita mendapat pendapatan lebih baik di Malaysia, sudah pasti kita akan pilih untuk bekerja di negara sendiri,” kata Hafizan.
Sathia berkata keputusan menolak tawaran beraksi di luar negara atas faktor gaji kurang lumayan mungkin boleh diterima jika ia dilakukan oleh pemain yang sudah berusia 25 tahun dan ke atas.
“Bagi pemain yang sudah berusia pula, mereka mungkin perlu berfikir panjang untuk beraksi di liga luar jika pendapatan lebih rendah berbanding di negara sendiri.
“Tempoh kerjaya mereka sudah tidak lama untuk sampai ke penghujung selain faktor keluarga. Jadi mereka ada alasan untuk tolak, cuma pemain muda saja kita lebih syorkan mereka dapatkan pengalaman dulu,” jelasnya.
Baru-baru ini, seorang pemain muda dari Malaysia berusia 20 tahun, telah berjaya mendapatkan kontrak sebagai pemain sebuah kelab bola sepak di Nagoya, Jepun untuk musim 2018.
M.Kavishkumar, bekas pelajar Victoria Insitution (VI) atau lebih dikenali sebagai Kumar telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Tokai FC dalam ‘Aichi Football League’ di Nagoya, Jepun mulai musim 2018 selama 1 musim.
Jika dilihat dari struktur bola sepak Jepun secara lebih dalam, diakui bahawa kedudukan Tokai FC bukanlah tinggi seperti kelab-kelab Jepun yang dikenali oleh kebanyakkan orang di Malaysia.
Namun usaha pemain muda ini mengeluarkan duit poket sendiri untuk mencapai impiannya beraksi di liga luar negara wajar dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pemain muda yang lain.