Pencabar Liga Premier musim 2022, Perak mengesahkan diri mereka untuk bertanding di saingan liga tersebut dengan bakal menurunkan barisan utamanya sejajar dengan usaha untuk mentransformasikan kelab berkenaan secara keseluruhan di bawah pengurusan baharu.
Hal tersebut dijelaskan oleh Muhammad Yunus Zakaria selaku Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut dengan mengatakan tiada halangan pasukannya untuk mengekalkan lesen untuk menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) biarpun disekat menandatangani pemain baharu dan hanya dibenar menggunakan barisan pemain asal diluluskan sebelum ini.
“Perak FC mengesahkan barisan pemain utamanya, sekaligus menetapkan kedudukan kelab ini sebagai satu daripada pencabar dalam musim Liga M yang bakal menjelang.
“Penyertaan Perak FC adalah sebahagian daripada komitmen kelab ke arah transformasi menyeluruh dan pembaharuan di bawah pengurusan baharu, Impact Media and Communication (IMC).
“Penyertaan kelab adalah sejajar dengan proses transformasi untuk mempertingkatkan prestasinya, dengan sasaran utama menjadikan Perak FC sebagai sebuah kelab yang stabil dan berjaya di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari semalam menerusi Berita Harian.
Azman Nor selaku bekas Pengurus Besar Perak dilaporkan telah memberi kenyataan setakat Rabu lalu belum ada sebarang kenyataan khusus daripada pasukan yang berpangkalan di utara itu mengenai status persiapan skuad sebelum ini.
Tambah Muhammad Yunus, skuadnya dilihat bakal menurunkan seramai 20 pemain musim ini barisan serangan memperlihatkan beberapa nama pemain muda berpotensi iaitu Royizzat Daud, Khairul Syafiq, pemain penyerang, Alif Zikri untuk menggempur kubu lawan.
“Jika diizinkan, kami ingin menurunkan susunan yang lebih kompetitif kerana kami percaya ia akan memberi kelebihan dalam Liga M ini. Bagaimanapun barisan permulaan kami ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kami memang bersemangat untuk bertanding.
“Kami sudah mempunyai rancangan untuk mendaftarkan jadual penuh pemain semasa tempoh perpindahan pemain dibuka dalam bulan Mei ini. Kami komited menyelesaikan semua isu tertangguh dan semua tunggakan,” katanya.
Perak sebelum itu telah dikenakan sekatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendaftar pemain baharu termasuk import setelah mereka mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM1.7 juta.
Barisan pemain Perak yang didaftarkan musim ini adalah para pemain yang telah dinaik taraf daripada Piala Belia dan Piala Presiden selain beberapa pemain asal sebelum ini yang dilanjutkan kontrak.
Perak pada musim ini bakal berentap dengan sembilan lagi pasukan lain di Liga Premier iaitu Johor Darul Ta’zim II, Skuad Projek FAM-MSN, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, PDRM FC, Selangor FC II, Terengganu FC II dan UiTM FC.