Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menyifatkan keadaan mental pemain-pemain kendaliannya sudah mencapai had, selepas menyaksikan peluang untuk menduduki empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris semakin samar – setelah ditewaskan oleh Everton.
Chelsea mendominasi perlawanan di Goodison Park pada babak pertama perlawanan – menyaksikan Eden Hazard menggegarkan palang dan Pedro mensia-siakan peluang menjaringkan gol dari jarak dekat.
Kegagalan memanfaatkan dominasi di babak pertama bagaimana pun dihukum memasuki minit ke-4 perlawanan bersambung selepas rehat separuh masa, apabila Richarlison menanduk masuk gol pendahuluan untuk Everton dari sepakan sudut.
Derita Chelsea semakin menjadi parah selepas itu apabila Richarlison dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Marcos Alonso.
Gyfli Sigurdson kemudiannya menyempurnakan bola muntah dari penjaga gol, setelah sepakan penalti pertama ditampan penjaga gol.
Kekalahan ini bermakna Chelsea gagal memanfaatkan kelebihan perlawanan yang mereka miliki untuk memintas Manchester United di tangga kelima liga. Kemenangan pasti turut akan membawa Chelsea mempunyai jumlah mata yang sama dengan Arsenal di tangga keempat.
“Kami mungkin beraksi untuk tempoh 45 minit terbaik untuk sepanjang musim ini. Kemudian bermula babak kedua, pemain-pemain seolah berhenti bermain; saya tidak tahu mengapa,” ujar Sarri.
“Ia mustahil disebabkan keadaan fizikal. Jika ia disebabkan itu, prestasi akan merosot sekata. Bukan di dalam satu saat begitu sahaja.
“Sukar untuk saya menerangkan perubahan corak prestasi pasukan. Mungkin juga disebabkan ‘mental block’.”
Ditanya mengenai kerisauan beliau mengenai keadaan mental pemain Chelsea yang tiada penyelesaian, Sarri berkata: “Buat masa ini, ini adalah had kami.
“Jika kami mampu beraksi seperti pada babak pertama secara konsisten, maka kita akan berada di posisi lain dalam kedudukan liga.”