Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengesahkan beliau mahu Gonzalo Higuain untuk terus kekal di Stamford Bridge pada musim hadapan. Perkara itu bagaimanapun terpulang kepada persetujuan yang boleh dicapai diantara Juventus dan juga Chelsea.
Higuain menyertai Chelsea secara pinjaman dari Juventus pada Januari lalu. Walaupun hanya menjaringkan tiga gol menentang kelab bawahan setakat ini, Higuain dilihat sebagai penyerang pilihan pertama di Chelsea.
Masalah utama Chelsea kini ialah larangan untuk aktif di pasaran pemain oleh UEFA, yang menyukarkan untuk Chelsea mengekalkan Higuain melangkaui musim panas ini. Rayuan Chelsea kepada UEFA akan dibincangkan sekali lagi oleh badan induk bola sepak eropah itu pada Khamis akan datang.
“Ya, sudah tentu. Tetapi ia bergantung kepada pihak kelab, dan ia juga bergantung kepada persetujuan Juventus,” jawab Sarri ketika ditanya oleh wartawan.
“Situasi sekarang masih kurang jelas. Beliau [Higuain] juga memerlukan lebih banyak masa untuk membentuk fizikal yang sesuai untuk saingan Liga Perdana Inggeris. Saya berpendapat beliau akan berjaya melakukan itu.
“Higuain harus menambahbaik aspek fizikal dan mental. Beliau akan menjadi lebih penting buat pasukan di akhir musim ini.”
Sarri turut menyamakan prestasi semasa yang dilalui oleh Higuain dengan apa yang dihadapi oleh Luis Suarez ketika baru menyertai Liverpool. Bintang Uruguay itu menjaringkan hanya empat gol dalam tempoh tiga bulan pertama untuk kelab Merseyside itu.
“Anda harus tahu ianya tidak mudah untuk pemain baru beraksi di sini untuk tempoh beberapa bulan pertama,” ujar beliau.
“Ia adalah masalah sama yang pernah dilalui oleh Suarez ketika baru menyertai Liverpool. Ketika itu, beliau hanya menjaringkan empat gol.
“Musim kedua Suarez menjaringkan 17 gol. Jadi ia terbukti sukar, terutama untuk seorang penyerang tampil cemerland di Liga Perdana Inggeris.”