Sarawak United Ikat 3 Import Baharu Termasuk ‘Malaikat Penyelamat’

Sarawak United memperkenalkan tiga pemain import baharu bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2022.

Tiga pemain tersebut adalah Boris Kok, Gonzalo Sato dan Francis Kone bagi menggantikan Taylor Regan dan Sandro Mendonca.

Dua lagi pemain import daripada musim lalu, Uche Agba (Nigeria) dan Lee Chang-Hoon (Korea Selatan) pula dikekalkan untuk saingan musim ini.

Boris Kok (Kemboja)

Boris Kok adalah pemain kacukan Perancis-Kemboja dan akan memperkuatkan barisan tengah skuad Kenyalang Emas pada musim ini.

Berusia 30 tahun, karier awal pemain ini bermula di Perancis sebelum menyertai Phnom Penh Crown FC sejak 2012 lagi.

Dibawa masuk untuk mengisi slot import Asia Tenggara, kehadiran pemain yang memiliki tiga kejuaraan Liga Perdana Kemboja ini dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zahril Azri (berhijrah ke Selangor) sebagai pemain tengah bertahan.

Gonzalo Soto (Argentina)

Gonzalo Soto merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penyokong bola sepak tempatan.

Pernah bekerja di bawah kendalian E. Elavarasan pada 2016 dan 2017, Soto adalah salah seorang anggota skuad PKNS FC yang muncul naib juara Liga Premier 2016, dan mara ke perlawanan akhir Piala FA pada musim yang sama.

Sebelum menyertai Sarawak United, Soto beraksi bersama kelab Switzerland, AC Bellinzona.

Bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Taylor Regan yang memilih untuk menyertai Newcastle Jets di Liga Australia, kehadiran Soto yang memiliki ketinggian 1.9 meter diharap mampu menjadi tunjang utama di bahagian benteng Sarawak United.

Francis Kone (Togo)

Francis Kone adalah bekas penyerang antarabangsa Togo kelahiran Ivory Coast. Seperti Soto, Kone turut memiliki pengalaman beraksi di Liga Malaysia selepas pernah beraksi bersama Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada musim lalu.

Berusia 31 tahun, Kone akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sandro Mendonca dan bakal bergandingan dengan Uche Agba untuk membentuk gandingan serangan baharu skuad Kenyalang Emas.

Di dalam dunia bola sepak, pemain ini turut mendapat gelaran ‘malaikat penyelamat’.

Gelaran  tersebut diberikan kepada Kone selepas tindakan pantas yang dilakukannya menyelamatkan penjaga gol kelab Bohemians, Martin Berkovec yang jatuh pengsan (tertelan lidah) selepas terlibat dalam perlanggaran dengan salah seorang rakan sepasukannya ketika perlawanan Liga Czech Republic.

Itu merupakan kali keempat Kone menyelamatkan pemain dengan cara sedemikian sepanjang bergelar pemain. Tindakan Kone mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk FIFA sehingga memenangi anugerah Fair Play pada 2017.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN