‘Bangkai Gajah Tak Boleh Ditutup Dengan Sebiji Bola’ – Apa Pula Alasan FAM Di Atas Kegagalan Skuad B-23?

Jawatankuasa Khas FAM

“Menutup bangkai gajah dengan nyiru” merupakan peribahasa Melayu yang tidak asing lagi bagi kita.

Gajah merupakan haiwan yang besar fizikalnya, bangkai pula sifatnya berbau busuk, manakala nyiru hanyalah alat ayakan kecil yang dianyam dari bilah rotan.

Maka peribahasa ini memberi mesej jelas. Sesuatu keburukan atau kelemahan yang besar, sama sekali tidak boleh ditutup dengan alasan-alasan kecil yang tidak masuk akal.

Sehingga hari ini, kita masih tidak tahu apa manfaat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menubuhkan badan siasatan yang kononnya ‘bebas’ untuk menilai kegagalan skuad kebangsaan di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 tempoh hari.

Sudahlah mahu menubuhkannya pun sudah mengambil masa beberapa minggu, kemudian hasil dapatannya pula entah apa-apa yang langsung tidak difahami logiknya. Apakah sebenarnya mesej yang ingin disampaikan?

Malah langkah itu turut dikritik oleh bekas Presiden FAM, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu hanyalah tindakan sia-sia dan membuang masa.

Tetapi kesimpulan mudahnya, ia hanyalah sekadar ‘wayang’ untuk menutup kelemahan pengurusan skuad kebangsaan sehingga diaibkan di pentas antarabangsa.

Selepas dilempar dengan kritikan demi kritikan, Presiden FAM akhirnya menegaskan bahawa badan induk tersebut merupakan di antara salah satu pengurusan terbaik di Asia pada ketika ini.

Dalam satu sesi temubual, Hamidin menjelaskan kegagalan skuad Harimau Malaysia di pentas Piala AFF di Singapura sama sekali tidak mencerminkan hakikat sebenar tentang pengurusan FAM dalam menaikkan martabat bola sepak di negara ini.

Menurutkan Peta Hala Tuju F:30 yang telah direncanakan masih berada pada landasan yang tepat di mana ia bukan hanya melibatkan skuad kebangsaan, tetapi juga merangkumi futsal, bola sepak wanita dan pembangunan akar umbi.

Maka bagi Hamidin tidak adil untuk penyokong mendesak beliau dan barisan pimpinan FAM untuk meletakkan jawatan hanya disebabkan satu kegagalan.

“Jadinya, bila lihat bola sepak kita [pada] tahap itu sahaja, kita label semua teruk, semua kena letak jawatan. Kerajaan pun hancur kalau macam itu,” ujarnya.

Hamidin turut menegaskan beliau tidak gentar dengan desakan agar berundur kerana baginya FAM akan ‘rosak’ dan akan lebih bermasalah.

Dalam F:30 itu, FAM telah menyasarkan Malaysia akan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia dengan muncul selaku salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang tahun 2030.

Akan tetapi, lihatlah realiti pada hari ini. Skuad kebangsaan kita dengan mudah ‘diayamkan’ oleh pasukan lain di Asia Tenggara.

Kita juga sudah terbukti masih jauh panggang dari api jika mahu dibandingkan dengan negara-negara di Asia lain di mana kita diratah dengan begitu mudah oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Uzbekisten.

Lebih memalukan lagi, skuad B-23 kendalian Brad Maloney pula ditelanjangkan di Kemboja apabila tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Laos.

Pasukan apa Laos ini? Negara ini hanyalah pasukan balasahan di rantau Asia Tenggara selama puluhan tahun ini. Tetapi hari demi hari kualiti mereka sudah semakin baik dan akhirnya Malaysia berada di bawah tapak kaki mereka.

Ketepikan F:30 yang tidak masuk akal itu. Apa agaknya nasib bola sepak Malaysia pada lima tahun akan datang? Mungkinkah kita akan menjadi pasukan tercorot di Asia Tenggara?

Siapakah yang bertanggungjawab untuk memikul kegagalan ini? Ketika kemaluan skuad kebangsaan terburai di Piala AFF Suzuki tempoh hari, kononnya keharmonian dalam pasukan, pemain naturalisasi dan ketiadaan pakar nutrisi menjadi punca.

Jadi alasan apa pula yang bakal diberikan untuk kegagalan kali ini? Ingat, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan sebiji bola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN