Santiago Solari merekodkan kemenangan pertama sebagai pengurus interim Real Madrid dengan membelasah Melilla 4-0 dalam pertandingan Copa del Rey pada awal pagi tadi.
Ini adalah perlawanan pertama Real Madrid sejak Julen Lopetegui dipecat setelah pasukan itu dimalukan Barcelona 5-1 pada Ahad lalu.
Skuad kendalian Solari jelas tidak mempunyai masalah mendomminasi perlawanan menentang kelab divisyen keempat itu.
Pengendali dari Argentina itu merehatkan beberapa pemain seperti Gareth Bale, Luka Modric dan Toni Kroos dalam perlawanan di tempat lawan ini.
Namun demikian, kapten pasukan Sergio Ramos dan penyerang, Karim Benzema memulakan perlawanan pusingan pertama pertandingan tersebut.
Benzema yang bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini memecahkan kebuntuan dengan gol dari jarak dekat selepas menerima hantaran Alvaro Odriozola.
Real menggandakan kelebihan sebelum tamat babak pertama perlawanan selepas permainan menarik Vinicius Junior berjaya menemui Marco Asensio yang menyudahkan umpanan.
Penyerang Brazil, Vinicius yang hampir langsung tidak dipedulikan oleh Lopetegui sebelum ini turut melihat percubaan beliau mengenai palang, sebelum bola muntah disudahkan oleh Odriozola.
Odriozola adalah seorang lagi pemain selain Vinicius yang sukar mendapatkan minit perlawanan ketika di bawah kendalian Lopetegui.
Pemain gantian, Cristo Gonzales melengkapkan kemenangan Real dengan gol di masa kecederaan, sekaligus memberikan kemenangan selesa kepada Solari dalam debut sebagai pengendali Real Madrid.