Sanrawat Dechmitr: “Dia Ni Theerathon ‘Versi’ Malaysia”

Sanrawat Kedah Azmeer Aris Theerathon

Dalam sebuah dokumentari YouTube dari Thailand, Next Stadium, pemain import Kedah Darul Aman FC, Sanrawat Dechmitr telah menyamakan rakan sepasukannya dengan bintang sensasi Thailand, Theerathon Bunmathan.

Tentunya ia satu penghargaan yang tinggi buat bek kiri, Azmeer Aris yang bermain di posisi seperti mana Theerathon yang kini bermain di Buriram United di Thai League 1 serta pernah berkelana ke J1 League, Jepun.

Di sana beliau beraksi bersama Yokohama F. Marinos selama tiga musim dan semusim di Vissel Kobe ketika menjejak kaki ke sana pada 2018.

Theerathon adalah antara nama besar dalam arena bola sepak Thailand kini dan merupakan tonggak utama skuad kebangsaannya sejak penampilan sulung pada 2010. Kini beliau telah merekodkan 72 kaps antarabangsa.

Ketika saingan Piala AFF 2020, beliau menjadi nadi skuad ‘Gajah Perang’ yang berhasil merampas semula kejuaraan daripada Vietnam. Bukan sahaja menjuarai buat kali ke-6 kejohanan dwi tahunan itu, Thailand juga dengan bangganya menewaskan skuad ampuh, Vietnam di separuh akhir.

Theerathon dianggap sebagai ‘playmaker’ kedua mereka selepas Chanathip Songkrasin dan uniknya, beliau merencanakan gerakan dari sebelah kiri.

Menurut Sanrawat yang kali terakhir mewakili skuad kebangsaannya pada 2019, Azmeer Aris saling tak tumpah dengan Theerathon, malah ada lagi perkara lain disebutnya tentang pemain yang kini berusia 23 tahun itu.

“Ini Mer [Azmeer] tetapi saya panggilnya Per. Dia akan mewakili skuad kebangsaan dalam masa tiga tahun lagi, di posisi bek kiri. Dia boleh dikatakan ‘Next’ Theerathon dengan campuran Sasalak [Haiprakhon].”

Sanrawat Dechmitr, Next Stadium Episod 3

Siapa pula Sasalak Haiprakhon? Ini antara wajah baharu bola sepak mereka yang juga beraksi di posisi bek kiri dan pemain yang dikatakan berkaliber.

Sasalak merupakan antara pemain yang dilahirkan hasil kerjasama antara Bangkok United dan sekolah selain akademi mereka dalam projek ‘cp-dreams’. Antara pencapaian terbaik Sasalak adalah menjadi pemain pertama Thailand dalam tempoh 35 tahun beraksi di K-League selepas Piyapong Pue-on melakukannya bersama Lucky-Goldstar FC (FC Seoul).

Begitupun, beliau hanya beraksi secara pinjaman selama enam bulan di Jeonbuk Hyundai Motors dari Buriram United yang berakhir Januari lalu.

Azmeer Aris menyertai Kedah musim ini selepas cemerlang membantu Penang FC membuat kejutan, menduduki tangga ke-3 Liga Super 2021.

Beliau tampil sebanyak 14 kali dalam saingan liga musim lalu dan ia adalah musim pertamanya dalam saingan tertinggi Liga Malaysia saat itu.

Begitupun, itu bukan posisinya ketika bermula sebagai pemain. Beliau adalah pemain sayap sebelum ditransformasi sebagai bek sayap.

Curi Tumpuan Lepas ‘Rantai’ Safawi Rasid, Tapi Itu Bukan Posisi Sebenar Azmeer Aris

Mempamerkan kelincahan menggerakkan posisi bek sayap di sebelah kiri menarik minat Kedah yang sedikit bergelut untuk mengisi posisi tersebut selepas kehilangan Azmeer Yusof. Beliau terbang ke Kedah bersama tiga lagi rakannya dari Penang untuk saingan musim ini. Dan beliau meraih lebih banyak minit permainan – 739 minit permainan dalam 13 penampilan.

Boleh dianggap antara nadi penting buat Kedah pada ketika ini, Azmeer dijangka akan semakin matang menjelang saingan musim hadapan.

Dengan pandangan Sanrawat terhadap Azmeer setinggi itu, amatlah wajar pengurusan ‘Sang Kenari’ mula memikirkan tentang masa depan pemain itu. Masih muda dan tampak berkaliber, beliau perlu kekal dalam pasukan musim depan.

Berikut adalah dokumentari Next Stadium episod 3 yang menyaksikan seorang Youtuber Thailand terbang ke Kedah untuk melihat bagaimana Sanrawat Dechmitr beradaptasi dengan saingan Liga Malaysia musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN