Analisis Taktikal: Sandro Titik Fokal Kedah, Eksploitasi Ralat Taktikal Pertahanan Selangor

Ini merupakan perlawanan unifi Liga Super pertama di bawah kendalian Nidzam Adzha buat Kedah dan Nazliazmi Mohamad Nasir buat Selangor.

Sebelum ini kedua-duanya bergelar pembantu; masing-masing kepada Ramon Marcote dan juga P.Maniam.

Bagaimana kedua-duanya menghadapi perlawanan MSL-6 ini?

Formasi pasukan

Di atas kertas, tidak ada perbezaan formasi ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.

Pasukan tuan rumah Kedah, terus menggunakan formasi 4-2-3-1, sistem yang digunapakai oleh Nidzam dan Kedah sejak beberapa musim lalu.

Sumber: Kedah FA, facebook.

Di kem Selangor, Nazliazmi turut mengekalkan sistem bek bertiga yang pernah digunapakai ketika era P. Maniam dalam formasi 3-4-3.

Tamat perlawanan, akhirnya Kedah mudah menewaskan Selangor dengan jaringan 4-0. Di manakah silapnya buat Selangor?

Apakah perubahan taktikal yang dilakukan oleh Nidzam Adzha yang memberi kelebihan kepada Kedah?

Serangan Kedah

Di dalam sistem 4-2-3-1 pasukan Kedah, sedikit perubahan posisi dilakukan kepada dua pemain.

Tiada tempat untuk Liridon Krasniqi di dalam kesebelasan utama akibat hukuman penggantungan 2 perlawanan. Sebelum ini, ramai bertanggapan bahawa jentera tengah pasukan Kedah tidak akan berfungsi seperti sediakala tanpa pemaim tengah tersebut.

Kredit: Kedah FA, Facebook.

Tidak kurang juga yang bertanggapan bahawa ketiadaan Liridon turut akan memberi impak kepada persembahan Sandro.

Di dalam perlawanan ini, Sandro membuktikan teori ini silap. Malah ketiadaan Liridon membuatkan pemain daripada Brazil ini lebih menyinar. Ini kerana untuk mendapatkan bola, Sandro akan lebih kerap turun ke bawah, untuk mendapatkan bola dari rakan sepasukan.

Formasi pasukan Kedah

Apakah peranan yang dimainkan Sandro di dalam perlawanan ini? Di atas kertas, Sandro adalah seorang penyerang berperanan sebagai No.9.

Tetapi kerana profail pemain ini yang beraksi sebagai No.10 selama beberapa musim (musim lepas di belakang Ken Ilso, musim ini di belakang Pablo Pallares ketika era Ramon Marcote), maka Sandro tidak ada masalah untuk berada di setiap sudut padang untuk terlibat di dalam permainan dan gerakan.

Turut menarik perhatian kami juga ialah peranan Baddrol Bakhtiar sebagai pemain No.10 oleh Nidzam Adhza, dan diapit oleh Syazwan Zainon serta Andik Vermansha di bahagian sayap.

Pivot berkembar turut digunakan oleh Nidzam dengan Akram Mahinan serta Halim Saari mempraktikkan disiplin cukup tinggi untuk mematikan peranan Evan Dimnas dan Abdul Halim Zainal di bahagian tengah.

Sistem pertahanan Selangor

Di atas kertas, ia kelihatan seperti Nazliazmi menggunakan sistem 4 pertahanan dengan Halim Zainal beroperasi sebagai pemain tengah bertahan.

Tetapi ianya bukan begitu ketika aksi di atas padang. Sepanjang perlawanan, Selangor beraksi menggunakan sistem bek bertiga dengan Halim berperanan sebagai pusat di dalam sistem bek bertiga.

Mengapit Halim ialah ketua pasukan, Razman Roslan di sebelah kanan dan Ashmawi Yakin di bek kiri.

Formasi pasukan Selangor

Di dalam sistem bek bertiga, bek sayap akan turun ke bawah, kebiasaannya membentuk ‘chain of five’ ketika di asak lawan. Sistem ini turut boleh membentuk sehingga 6 pertahanan ketika bertahan dengan pemain tengah bertahan akan berperanan sebagai ‘half back’ ketika bertahan di garis rendah.

Namun demikian, perkara ini tidak berlaku sepanjang perlawanan. Malah terlampau banyak ruang diberikan untuk pemain Kedah mengeksploitasi ruang yang dibiarkan kosong.

Adakah ini ralat taktikal daripada Nazliazmi? Atau pemain tidak mendengar arahan yang diberikan?

Ralat taktikal pertahanan Selangor

Daripada penjelasan di atas, anda sepatutnya sudah tahu di mana kekuatan pasukan Kedah ketika melakukan serangan dan juga kekuatan Selangor untuk menyerap asakan pasukan Kedah.

Apakah yang berlaku?

Seawal minit ke-4 perlawanan, Kedah sudah mendahului. Ini selepas kesilapan di bahagian pertahanan Selangor berlaku.

kedua-dua sisi kiri dan kanan Selangor terdedah tanpa perlindungan. Kem Selangor sepatutnya sudah menyedari ancaman yang dimiliki oleh pasukan Kedah dengan pemain seperti Syazwan dan Andik. Adakah ini satu kesilapan pemain yang tidak menurut arahan?

Perhatikan gambar analisis di atas. Dua pemain tengah Selangor tidak memberi perlindungan sewajarnya kepada 3 pertahanan di belakang. Bek sayap turut tidak turun ke posisi sepatutnya untuk menjalankan tugas bertahan.

Situasi ini mewujudkan keadaan 4 melawan 3, dengan kelebihan kepada Kedah. Tanpa pembetulan, benteng Selangor hanya menunggu masa untuk terus dihukum.

Lakaran di atas menunjukkan ruang yang diberikan tanpa sebarang tekanan kepada Sandro. Ini memudahkan tugas penyerang import ini. Hasilnya, gol kedua pasukan Kedah dijaringkan selepas itu.

Perhatikan sahaja jarak yang dibenarkan oleh pertahanan Selangor untuk Sandro membawa bola tanpa dicabar. Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan Kedah selesa mendahului 2-0.

Di tahap ini, kita menjangkakan akan perubahan taktikal untuk memperbaiki kesilapan di bahagian pertahanan oleh Nazliazmi. Namun ianya tidak berlaku. Lihat larian taktikal oleh Sandro dalam lakaran di bawah.

Ianya gerakan yang sangat mudah. Setelah menghantar bola kepada Baddrol, Sandro hanya perlu melakukan larian ke bahagian tengah yang kosong. Sekali lagi, Sandro diberikan laluan mudah dan ruangan yang sangat luas.

Baddrol hanya perlu memastikan bola berjaya dilintangkan, untuk disudahkan oleh Sandro untuk gol ketiga.

Kisah gol ke-4 Kedah turut tiada bezanya. Sandro memanipulasi ruang di sebelah kiri pertahanan Selangor, sebelum menghantar bola lintang ke hadapan gawang Selangor.

Perhatikan larian Akram Mahinan yang dibiarkan dan ruangan kosong yang terbuka. Semuanya tampak mudah buat Kedah.

Rumusan

Terlampau banyak ralat di bahagian pertahanan Selangor. Pertama, dua bek sayap tidak turun untuk membantu untuk membentuk raangkaian pertahanan yang kompak. Ini membuatkan setiap bahagian sisi pertahanan Selangor sangat mudah dibolosi.

Selangor turut hampir bermain tanpa pemain tengah pertahanan. Apabila menggunakan sistem bek bertiga, kehadiran pemain tengah bertahan amat penting untuk memberi perlindungan.

Sistem pertahanan Selangor di dalam permainan ini diibaratkan capaian internet berkelajuan tinggi, tetapi mengalami ‘limited access’. Akibatnya, ia putus hubungan.

Sandro terlibat secara langsung di dalam semua empat gol Kedah. Terlibat di dalam gerakan gol pertama, menjaringkan dua gol selepas itu, Sandro melengkapkan malam derita Red Giants dengan satu bantuan gol untuk Akram.

Pemain terbaik perlawanan pilihan kami, semestinya ialah Sandro Da Silva Mendonca daripada Kedah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN