Satu masa dahulu, pemain Jerman iaitu Mario Gotze pernah menjadi antara bintang tumpuan pengikut bola sepak.
Prestasi cemerlang beliau di Borussia Dortmund menjadikan namanya antara bakal bintang utama dunia pada masa akan datang.
Namun semuanya tampak berubah selepas beliau memilih untuk meninggalkan Jurgen Klopp dan Dortmund dengan menyertai Bayern Munich.
Selepas itu, kariernya terus menjunam dengan menghidapi sakit misteri dan kini beliau sudah menyertai kelab Bundesliga iaitu Eintracht Frankfurt.
Satu masa dulu, Klopp pernah memberikan Gotze peluang untuk kembali bersatu pengurus itu di Liverpool. Tetapi, pemenang Piala Dunia 2014 itu memilih untuk menyertai Dortmund semula.
Namun Gotze nyata menyesal akan tindakannya itu.
“Ketika itu, Liverpool menamatkan saingan liga ditangg kelapan dan tidak layak ke UEFA Champions League.”
“Dalam tahun-tahun ke belakang juga Liverpool tidak beraksi cemerlang seperti yang diharapkan.”
Ketika itu, Gotze memilih Dortmund kerana mereka sedang beraksi cemerlang bersama-sama Thomas Tuchel yang bertindak sebagai pengurus.
Namun, jelas sekali Gotze menyesal kerana tidak mengikut Klopp ketika pengurus Liverpool itu sedang cuba mendapatkan beliau pada musim panas 2016.
“Jurgen Klopp ketika itu masih lagi tengah membina sesuatu [di Liverpool].”
“Secara retrospektifnya, anda boleh katakan yang Liverpool pastinya [pilihan] yang lebih baik,” kata Gotze menerusi Liverpool Echo.
Kebahagiaan dalam perpisahan
Walaupun ketika itu penyokong Liverpool teruja untuk menyaksikan gabungan semula Klopp dengan Gotze, mereka jelas sekali kecewa apabila pemain itu memilih untuk kembali ke kelab lamanya.
Hal ini kerana, semua orang tahu betapa cemerlangnya Gotze ketika beraksi untuk Klopp dan penyokong Liverpool berharap magis itu akan muncul sekali lagi.
Namun begitu, Gotze memilih untuk terus berpisah dengan Klopp dan memilih jalannya sendiri.
Ianya mungkin menyakitkan, tetapi nyata ada kebahagiaan dalam perpisahan itu buat Liverpool.
Klopp memilih untuk mendapatkan Sadio Mane dari Southampton dan nyata percaturan itu membuahkan hasil untuk Liverpool.
Enam tahun kemudian, Mane pula pergi ke Bayern Munich sambil membawa gelaran legenda yang diterimanya di Liverpool.