Pemain tengah Juventus, Sami Khedira meminta semua pihak khususnya para penyokong untuk tetap menghargai gelaran Scudetto yang diraih pasukannya pada musim ini.
Khedira beranggapan kejayaan Juventus menjuarai gelaran terulung Serie A itu perlu tetap dihargai dan disambut meriah meskipun kelab itu gagal menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.
Juventus mengesahkan gelaran Scudetto ke-35 kelab itu selepas berjaya mengutip tiga mata menewaskan Fiorentina 2-1 di Turin, Ahad lalu.
Kemenangan tersebut sekaligus menjadikan kejuaraan kali kelapan berturut-turut yang dimenangi Juventus sejak dari era kebangkitan ‘The Old Lady’ pada musim 2011/12.
Scudetto istimewa
Bagaimanapun, kejayaan Juventus yang dinobatkan sebagai juara Serie A musim ini tidak mendapat sambutan yang semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya.
Hal ini berkait dengan penyingkiran Juventus diperingkat suku akhir Liga Juara-Juara minggu lalu, selepas tewas di tangan Ajax dihalaman sendiri.
Namun bagi Khedira, beliau mengakui bukan mudah bagi pasukan untuk memenangi gelaran Serie A dan oleh itu beliau harap semua pihak perlu menghargai kejayaan yang diraih Juventus pada ketika ini.
“Musim ini kami [Juventus] memenangi gelaran juara [Scudetto] untuk kali kelapan berturut-turut.”
“Gelaran ini merupakan sesuatu yang istimewa dan kami tidak mendapatkannya dengan cara yang mudah. Ini merupakan kejayaan yang besar untuk kami.”
Musim depan !
Khedira menyedari betapa ramai peminat Juventus yang masih kecewa dengan kegagalan pasukan memenangi gelaran Liga Juara-Juara.
Namun, Khedira berjanji bahawa dia dan rakan sepasukan akan terus bekerja keras untuk membawa Piala Liga Juara-Juara ke Turin pada musim hadapan.
“Memenangi Liga Juara-Juara adalah salah satu sasaran Juventus. Tetapi untuk memenangi trofi itu tidak mudah kerana terdapat tujuh atau lapan pasukan yang juga turut ingin memenangi piala itu.”
“Oleh sebab itu, kami perlu menerima kegagalan kami pada kejohanan ini walaupun ia menyakitkan, kami akan cuba memenanginya pada masa depan.”