Sam Allardyce berkata bahawa beliau bersemangat dan bertenaga untuk kembali ke bidang pengurusan bola sepak bersama Everton.
Bekas pengurus England berusia 63 tahun ini telah menandatangani kontrak untuk bersama kelab Merseyside tersebut sehingga Jun 2019, menggantikan Ronald Koeman yang dipecat pada Oktober lalu.
Everton menjunam ke tangga ke-18 liga ketika Koeman dipecat, manakala Allardyce tidak mempunyai sebarang kelab sejak meninggalkan Crystal Palace pada Mei lalu.
Allardyce dipetik sebagai berkata dalam satu sidang media:
“Cita-cita yang dimiliki oleh kelab ini, juga sejarah hebat yang mereka miliki menjadi perkara yang penting buat saya.”
“Buat masa ini, jelas sekali kelab ini melalui musim yang kurang memberangsangkan. Saya mengharapkan kita mampu mengubah itu, dan mulai membawa Everton ke hadapan selepas itu.”
“Tanpa mengira apa yang berlaku sebelum ini, ini adalah masa untuk semua pihak bekerja bersama-sama untuk satu sama lain. Keinginan untuk bekerja sebagai satu unit ialah kaedah untuk kelab ini untuk terus mara ke hadapan.”
“Saya merasa sangat bersemangat dan penuh dengan tenaga untuk kembali sebagai pengurus di kelab ini.”
Namun selepas tewas 5-2 kepada Arsenal, Koeman dipecat daripada jawatan pengurus pada 22 Oktober lalu.
The Toffees telah membelanjakan lebih daripada £130 juta untuk membawa pemain baharu pada jendela musim panas yang lalu, namun tetap bergelut untuk prestasi selepas kehilangan penyerang utama, Romelu Lukaku yang dijual ke Manchester United pada jendela perpindahan yang sama.
Selepas pemecatan Koeman, pengendali skuad B-23 Everton, David Unsworth yang juga merupakan pemain pertahanan kelab tersebut diletakkan sebagai pengganti sementara kepada Koeman.
Unsworth hanya mampu mencatatkan 2 kemenangan daripada 8 perlawanan yang dikendalikannya, termasuk kemenangan 4-0 ke atas West Ham pada Rabu lalu. Unsworth akan kembali ke posisi asalnya di dalam kelab selepas ini.
Farhad Moshiri yang merupakan pemegang kepentingan terbesar di Everton, dipetik sebagai berkata:
“Sam memahami cita-cita jangka masa panjang yang kita ada untuk kelab hebat ini. Saya tahu dia adalah pengurus yang akan memberikan sehabis baik dan sentiasa memberikan fokus sepanjang 24 jam sehari.”
“Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih bagi pihak kelab kepada David Unsworth kerana tampil membantu pada ketika kelab sangat memerlukan selama beberapa minggu kebelakangan ini.”
“Unsworth adalah seorang Evertonian yang sejati, penuh dengan komitmen, perasaan bangga serta semangat untuk kelab ini.”
Everton berada di tangga ke-13 carta Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan pada Rabu lalu, dan akan berhadapan dengan Huddersfield pada Sabtu hadapan.
Allardyce meninggalkan Crystal Palace hanya selepas 5 bulan bersama kelab itu; kembali ke bidang pengurusan selepas pengalaman mengendalikan England hanya 1 perlawanan.