Sam Allardyce telah mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang pengurusan bola sepak dalam satu pengumuman awal pagi tadi.
Keputusan pengurus veteran itu mengejutkan ramai pihak setelah hanya 5 bulan bersama Crystal Palace.
Sam Allardyce dilaporkan menyatakan hasrat beliau itu kepada pengerusi Crystal Palace, Steve Parish tengah hari semalam.
Persaraan Allardyce bermakna Crystal Palace terpaksa mencari pengurus yang ke-6 dalam tempoh 6 tahun kebelakangan ini.
Allardyce dilaporkan akan menerima bayaran bonus sebanyak £2 juta setelah berjaya menyelamatkan Crystal Palace dari tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Keputusan untuk bersara daripada pengurusan bola sepak diambil untuk membenarkan beliau meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Saya mahu menikmati kehidupan di kala usia tua saya masih muda dan di kala saya masih memiliki kesihatan yang baik. Hakikatnya, saya sudah merasakan impak umur 62 tahun itu.”
Mirror Football melaporkan Steve Parish turut mencuba untuk meminta Allardyce untuk mengubah keputusan yang diambilnya itu.
Bagaimanapun, laporan telah menyatakan keputusan untuk bersara telah diambil oleh beliau sebelum perlawanan menentang Manchester United pada Ahad lalu.
Sam Allardyce menyertai Crystal Palace setelah beliau dipecat sebagai pengurus England setelah skandal penyelewengannya didedahkan oleh akhbar Telegraph sebelum ini.
Kontraknya di Selhurst Park seharusnya tamat pada 2019. Bagaimanapun kontrak berkenaan dilaporkan mempunyai klausa untuk ditamatkan sepertimana yang diamalkan oleh Allardyce.
“Saya ingin merakamkan penghargaan untuk semua yang telah memberikan sokongan sejak perkhabaran ini mulai tersebar. Saya pasti akan merindui bidang pengurusan, tetapi tidak akan menyesal atas keputusan ini.”
“Naluri saya mengatakan ini adalah masa yang tepat untuk bersara. Saya tidak berhasrat untuk menerima tawaran dari pihak lain.”
“Saya hanya mahu peluang untuk menikmati perkara yang tidak dapat saya lakukan akibat tumpuan dan komitmen dalam bola sepak- apatah lagi tuntutan di EPL.”
“Steve Parish memberikan reaksi yang baik ketika perbincangan dengan saya, walaupun dia tampak terkejut. Bagaimanapun, kami berbincang dan menyelesaikannya dengan cara yang baik.” jelas Allardyce mengenai keputusanya untuk bersara.
Laporan turut menyebut bahawa keputusannya untuk bersara tidak ada kena mengena dengan perpindahan dan pembelian pemain, kewangan kelab atau apa-apa kaitan yang berkaitan dengan kelab.
Ini adalah keputusan yang dilakukan atas sebab peribadi mengambil kira faktor kepentingan keluarganya sendiri.
Rakan-rakan Allardyce selalu bimbang akan kehidupan Allardyce yang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh. Keluarganya berada di Bolton, manakala kerjayanya adalah di selatan London.
Walaupun sentiasa berpindah randah sepanjang karier pengurusannya, Allardyce tetap memiliki sebuah rumah di Lancashire, di mana beliau akan punyai lebih banyak masa untuk luangkan masa bersama cucunya.