Semalam laman Facebook Turkish Football tiba-tiba menjadi ‘viral’ oleh netizen tempatan apabila berita mengenai perpindahan pemain tengah Turki, Salih Uçan dari Besiktas ke Basaksehir menjadi perhatian ramai.
Pemain yang berstatus pinjaman ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia bukan kerana gaya permainan dan impak yang diberikan atas padang, tetapi kerana wajah Salih yang seira dengan pengasas produk kosmetik D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri Bin Kamarzaman.
Sebelum ini wajah selebriti tersebut turut disamakan oleh netizen dengan penjaga gol terbaharu Selangor, Sam Somerville sehingga menjadi heboh di media sosial mengenai perkara tersebut atas kuasa ‘viral’ yang tidak putus-putus.
Kini Facebook Turkish Football pula yang menjadi tumpuan netizen Malaysia yang merasakan itu sesuatu yang menghiburkan apabila Aliff Syukri kini bergelar seorang pemain bola sepak di Turki pula.
Salih Uçan merupakan pemain skuad kebangsaan Turki yang beraksi di posisi tengah. Pemain itu sebelum ini tidak menjadi perhatian kerana gaya rambut beliau yang agak lebat serta berkumis tebal.
Gambar beliau yang terbaharu dengan kumis lebih nipis jelas sangat mirip dengan pelakon utama dalam filem Badang itu.
Untuk pengetahuan ramai, Uçan bukan calang-calang pemain di Turki. Pemain ini merupakan antara bintang utama di negara tersebut dan pernah menyertai Serie A di Itali untuk bersama skuad Roma dan Empoli selaku status pinjaman.
Uçan juga pernah beraksi bersama kelab SC Sion di Swiss Super League sebelum kembali ke Turki untuk menyertai Alanyaspor pada tahun 2019 hingga 2021 dengan 3 gol direkodkan pemain ini sepanjang 61 penampilan.
Antara kejuaraan yang diperoleh beliau sepanjang karier adalah menjuarai Super Lig dan Turkish Cup bersama Fenerbahce.
Dalam karier bersama pasukan kebangsaan, Uçan telah menyertai Turki sejak skuad Bawah 15 tahun (B-15) sehingga di peringkat senior pada tahun 2013.
Sewaktu bersama skuad Bawah 20 tahun (B-20), Uçan juga telah menjadi antara tonggak yang beraksi di saingan FIFA U-20 World Cup.
Pemain ini mula mencipta karier pada tahun 2004 dengan beraksi untuk Marmaris Belediyespor sebelum berhijrah ke Bucaspor pada tahun 2008.