Kemaraan Liverpool ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah memberi motivasi tambahan kepada penyerang prolifik pasukan itu, Mohamed Salah untuk lebih fokus untuk membantu pasukannya merangkul trofi berbanding gelaran individu yang boleh dimilikinya musim ini.
Bintang Mesir itu sudah meledak 40 gol dalam semua pertandingan musim ini ketika Liverpool menewaskan Bournemouth 3-0 dalam saingan Liga Perdana semalam dan kini dalam kedudukan terbaik untuk memenangi anugerah Kasut Emas Eropah.
Liverpool mengalahkan Manchester City secara agregat 5-1 untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara untuk bertemu AS Roma dan Salah berharap rentak kemenangan itu dapat diteruskan.
“Memenangi Liga Juara-Juara lebih penting,” kata Salah ketika ditanya sama ada dia lebih berminat memenangi piala atau anugerah individu.
“Jika anda diberikan pilihan sudah pastinya Liga Juara-Juara. Memenangi Liga Juara-Juara adalah penting untuk semua orang. Saya tak pedulikan hal lain.”
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 30 gol dalam 32 aksi liga bersama Liverpool pada musim pertamanya dengan kelab itu dan menjadi calon pilihan untuk meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional.
Liverpool akan menentang West Bromwich Albion dalam kempen liga Perdana Inggeris Sabtu ini sebelum mengharungi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, tiga hari kemudian.
Salah yang mengharungi musim pertamanya di Anfield menjadi pemain Liverpool pertama sejak Ian Rush (1986-87) mengumpul lebih 40 gol dan pemain ketiga dari kelab itu selepas Rush serta wira England pada Piala Dunia 1966, Roger Hunt.
Tetapi Salah mencapai angka 40 gol jauh lebih awal berbanding kedua-dua legenda berkenaan.
Dengan berbaki tujuh lagi perlawanan musim ini, dia mungkin mampu mencabar rekod jaringan terbanyak kelab yang ketika ini dipegang Rush menerusi 47 gol pada kempen 1983-84.
“Betul ia sudah 31 tahun? Dia tidak nampak setua itu. Dia pasti berusia 14 tahun apabila dia menjaringkan 40 gol,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp dengan nada berjenaka mengenai Rush apabila diberitahu Salah menjadi pemain Liverpool pertama meledak 40 gol sejak legenda Wales itu melakukannya.
“Tetapi Mo tahu apa maknanya dan cara kami bermain sesuai dengannya. Baginya, untuk semua pemain, ia menakjubkan dan hari ini dia jelas tidak nampak seperti dia tidak mahu menjaringkan gol untuk beberapa perlawanan berikutnya.
“Semuanya adalah mengenai dirinya, mengenai diri kami dan bagaimana kami menamatkan musim ini. Secara normal dalam situasi ini, untuk menjadi yang terbaik dari sudut senarai penjaring dan memenangi Kasut Emas, atau apa saja yang mereka gelar, ia bermakna kami berjaya sebagai pasukan, tetapi kami tidak boleh memaksanya,” jelasnya.