Pada usia 10 tahun, beliau mendapat suaka politik setelah berhijrah dari negara kelahirannya, Burundi. Kemudian, beliau menjadi pemain bola sepak.
Di negara angkatnya, beliau pernah dipanggil mewakili pasukan England bawah-21 beberapa kali.
Peluang terhad
Disebabkan peluang untuk mewakili England sebagai penyerang agak terhad, Saido Berahino mengambil keputusan untuk mewakili Burundi. FIFA telah meluluskan permohonan pemain Stoke City yang berusia 25 tahun ini.
Saido telah dipanggil untuk mewakili Burundi dalam perlawanan menentang Gabon kelmarin. Kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019.
Dalam perlawanan tersebut, Saido menjaringkan gol pertama untuk negara kelahirannya. Gol itu tersebut hadir pada minit ke-40.
Seri
Penyerang Gabon yang juga bersama Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-76. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar.
Burundi mendahului Kumpulan C dalam fasa kelayakan AFCON 2019. Mereka tidak tewas langsung dalam 2 perlawanan awal dengan satu kemenangan dan satu seri.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke kejohanan yang diadakan pada tahun hadapan. Cameroon akan menjadi tuan rumah kejohanan berprestij benua Afrika ini.
Momentum
Sebelum ini, Saido pernah mengalami kemarau gol selama hampir dua tahun setengah. Namun, rekod itu berakhir apabila beliau menyumbangkan gol untuk Stoke menewaskan Huddersfield dalam perlawanan EFL Cup dua minggu yang lalu.
Nampaknya, Saido sudah menemui sentuhan yang sudah hilang. Mungkinkah selepas ini beliau akan membantu Stoke untuk kembali ke Premier League?
Elok juga Saido memilih Burundi daripada England, boleh jadi ikan besar dalam kolam kecil!
Burundi antara negara Afrika yang pernah bergolak kerana perang saudara. Ini menyaksikan ramai rakyatnya menjadi pelarian dan berhijrah ke negara lain bagi meneruskan kehidupan.