Harian Metro melaporkan – penyerang dan juga kapten Perlis – Safee Sali sah meninggalkan pasukan itu. Sebelum ini Safee Sali menjadi nama penting dalam revolusi Perlis Northern Lions. Namun segalanya serba tak kena selepas pasukan itu menghadapi masalah kewangan.
Bulan lalu, Safee Sali memberikan tempoh kepada Perlis untuk melangsaikan tunggakan gaji yang masih belum beliau terima sejak bulan pertama lagi.
Safee Sali juga memberitahu Harian Metro bahawa beliau sudah ada pasukan baharu – yang berpangkalan di Lembah Klang. Safee Sali mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Perlis – terutama sekali rakan-rakan dan jurulatihnya ketika sesi latihan di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Safee enggan mendedahkan terlebih dahulu pasukan baharu beliau. Dan keputusan meninggalkan Perlis itu diambil selepas berbincang dengan ahli keluarganya. Beliau juga berharap peminat Perlis faham akan tindakan nekad beliau – kerana ianya demi masa depan.
Safee Sali masih lagi laku. Hal itu disahkan sendiri oleh beliau. Safee berkata: “Antara pasukan yang mahukan beliau adalah Selangor, PJ City, Kelantan dan UiTM.”
Namun beliau tidak mahu menerima tawaran daripada kelab lain sebelum kontrak dengan Perlis ditamatkan – ini kerana Safee Sali mahu kekal profesional dan menghormati kontrak bersama Perlis.
Semalam jurulatih skuad B-17 Perlis – Akhmal Rizal mengesahkan perletakan jawatan beliau kerana tidak mendapat gaji beliau yang sudah lama tertunggak.