Quantcast

BERITA

Piala FA 2019: Klasiko FC Bakal Berentap Dengan Batu Dua FC Di Pusingan Pertama

Undian pusingan pertama Shopee Piala FA 2019 berlangsung sebentar tadi menyaksikan 20 pasukan yang kebanyakannya merupakan kelab amatur dan komuniti bakal berentap untuk merebut slot ke pusingan kedua serta berpeluang bertemu dengan pasukan dari Liga Premier dan Liga Super.

Antara pertemuan yang pasti mencuri tumpuan dalam kalangan peminat Liga Sosial ialah Klasiko FC menentang Batu Dua FC dan kelab komuniti dari Terengganu, Pemanis FC menentang wakil dari Sarawak, Kuching FA.

Klasiko FC mara ke pusingan pertama selepas menewaskan pasukan yang agak popular di media sosial iaitu Raja Permin FC manakala Batu Dua FC mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila menewaskan Rawang Rawang City FC dengan keputusan 17-1, iaitu rekod jaringan terbesar dalam saingan Piala FA.

Batu Dua FC bukanlah calang-calang pasukan kerana pasukan ini dibarisi oleh beberapa bintang bola sepak tempatan dan bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Manaf Mamat, Azidan Sarudin, Fakhrulrazi Musa, dan bekas pemain Pahang, Rizua Shafiqi.

Sebelum ini, 36 pasukan berentap dalam pusingan kelayakan Shopee Piala FA. 10 pasukan yang menang di pusingan pertama akan mara ke pusingan kedua. Ia merupakan pencapaian tertinggi bagi kelab amatur dan komuniti jika mereka berjaya mara sejauh ini.

JBFA FC dan MD Besut FC akan beraksi buat kali pertama menentang Kampung Raja Uda FC dan Jerantut FA setelah mendapat “bye” ke pusingan pertama.