Genap 7 Tahun Lalu Pada Hari Ini, Safee Sali Rasmi Gegar Indonesia Bersama Pelita Jaya

Tanggal 14 Februari 2011, tepat 7 tahun lalu, penyerang tersohor negara, Safee Sali telah memijakkan kaki ke bumi Indonesia untuk menyertai kelab Pelita Jaya FC.

Safee merupakan pemain Malaysia pertama yang beraksi di Liga Indonesia (ISL) dan keputusan berhijrah tersebut telah dilakukan oleh Safee demi memajukan kariernya.

Pengumuman rasmi telah dibuat oleh pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 7 Februari dalam sidang media khas di Wisma FAS, Kelana Jaya.

Menjadi perhatian ketika AFF Suzuki 2010

Kelibatnya mula menjadi sebutan dan perhatian kelab-kelab di Indonesia selepas dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan Piala AFF Suzuki 2010.

Safee telah meledak lima gol dalam membantu Malaysia meraih gelaran sulung kejohanan dwi-tahunan tersebut selepas 9 edisi dilangsungkan.

Lebih indah dan mungkin menjadi sebab Safee menjadi sebutan di Indonesia adalah, Malaysia menumbangkan Sang Garuda dalam pentas final di bumi Indonesia sendiri.

Dalam aksi final, Safee meledak tiga gol, dua ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil (Malaysia menang 3-0) dan satu gol ketika di Stadium Gelora Bung Karno (Malaysia tumpas 1-2).

Aura Safee Sali dalam kejohanan AFF 2010 memang tiada tandingan. Foto: Asiana.my

Dipinang tiga kelab, Safee pilih Pelita Jaya

Safee telah diperkenalkan kepada umum oleh Pelita Jaya pada 14 Februari dalam sesi menandatangani kontrak selama setahun dengan anggaran gaji mencecah RM38,000 sebulan.

Utusan melaporkan jumlah tersebut ketika Safee menandatangani kontrak baharu untuk musim 2011/12. FAS dan Pelita Jaya sebelum ini telah merahsiakan perkara tersebut.

Safee Sali ketika ditemui media menyatakan yang dia mempunyai alasan tersendiri ketika memilih untuk bersama Pelita Jaya dan menolak dua kelab lain.

Safee Sali, sebelum berangkat ke Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang semalam. Turut kelihatan ayah Safee Sali (kiri) dan Zakaria Ab. Rahim. Foto: Kosmo.

“Saya mempunyai alasan tertentu untuk memilih Pelita Jaya. Dengan bantuan FAS, saya rasa pilihan untuk menyertai kelab ini adalah tepat.

“Memang saya telah serahkan kepada FAS untuk membuat pilihan di antara tiga kelab ini. Saya juga dapati Pelita Jaya sesuai dengan cara permainan saya,” kata Safee.

Menurut Pengarah Teknikal Pelita Jaya, Rahim Soekasah, kehadiran Safee ketika itu diharapkan dapat membantu jentera serangan mereka yang agak tumpul.

“Pemain Pelita muda-muda. Selain itu, kami juga mahukan penyerang. Kami sudah main bagus, tetapi tidak boleh mencetak gol,” ujar Rahim Soekasah kepada Kompas.

Pelita Jaya FC? Nyata ianya pilihan tepat

Ternyata pilihannya dan FAS tepat, Safee cepat menyesuaikan diri malah disukai oleh pendokong dan penyokong kelab tersebut yang kini dikenali sebagai Madura United FC.

Dengan memakai jersi bernombor 55, Safee telah membuat 13 penampilan bersama Pelita Jaya dan telah menjaringkan 7 gol dalam musim pertamanya di ISL.

Mencetak 7 gol selepas masuk di pusingan kedua liga, jumlah jaringannya itu hanya dibezakan lima gol dengan jumlah jaringan di kedudukan ke-9, dalam carta penjaring terbanyak.

Selepas tamat musim pertama, Safee telah ditawarkan kontrak tiga tahun namun hanya memilih untuk menyambung kontrak baharu selama dua tahun.

Safee Sali dilantik kapten pada musim kedua di Pelita Jaya FC.

“Sebenarnya Pelita Jaya menawarkan kontrak tiga tahun dan saya hanya mahu memanjangkan kontrak selama satu tahun sahaja lagi.

“Tetapi setelah pihak saya mengadakan perbincangan yang panjang, kami mengambil jalan tengah iaitu menyambung kontrak selama dua tahun lagi,” ujar Safee kepada Bernama.

Untuk musim kedua di sana, Safee telah dilantik sebagai kapten Pelita Jaya FC . Ianya satu penghormatan buat penyerang berbisa skuad kebangsaan itu.

Impak selepas kehadiran Safee Sali

Mungkin tidak salah untuk mengatakan kehadiran Safee ke Pelita Jaya telah meninggalkan impak yang positif buat kelab tersebut bermula pada musim 2011/12.

Purata kehadiran penyokong di Stadium Singaperbangsa pada musim 2010/11 ada berjumlah 4629 dan ianya meningkat kepada 6325 ketika musim pertama Safee.

Selain itu, Pelita Jaya juga dilihat berprestasi baik dengan menduduki kedudukan ke-12 liga walaupun pada musim sebelum itu, Pelita Jaya berada di zon penyingkiran.

Safee Sali bersama ayah dan ibunya ketika menandatangani kontrak baharu bersama Pelita Jaya FC. Foto: Utusan.

Safee meneruskan impaknya pada musim kedua selepas dilantik sebagai kapten pasukan dengan menyumbang hampir separuh gol yang dihasilkan oleh kelabnya.

Pelita Jaya juga berjaya meraih kedudukan yang sangat baik iaitu di posisi ke-6 liga. Musim tersebut juga menyaksikan konflik dalaman Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI).

Konflik dalaman tersebut menyaksikan ISL tidak lagi diiktiraf oleh PSSI dan satu jawatankuasa bersama telah diwujudkan untuk menguruskan liga untuk sementara waktu.

Penutup

Selepas pulang daripada berkelana di Indonesia pada 2013, bermula secara pinjaman semusim ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali dilihat kian hilang sentuhan.

Lebih banyak memanaskan bangku simpanan di JDT, Safee semakin bergelut dengan prestasi sendiri. Safee juga tidak pulang ke Indonesia selepas tamat tempoh pinjaman.

Kontraknya dengan kelab di Indonesia tersebut berakhir pada awal 2014 dan Safee akhirnya memilih untuk menyarung jersi JDT bermula musim 2014.

Adakah prestasi hambar Safee adalah sumpahan amarah dari bumi Sang Garuda? Dan adakah sumpahan itu telah berakhir selepas 7 tahun kisahnya berkelana ke sana?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN