Safee Sali Bantu PKNS Ikat Melaka United Yang Cemerlang

Disebalik persembahan yang baik daripada anak buahnya untuk seri 1-1 dengan tuan rumah PKNS di Stadium Shah Alam, debut Eduardo Almeida bersama Melaka United dicemari oleh kad merah Jasmin Mecinovic.

PKNS yang turun dengan ketiga-tiga pemain import barunya mempertaruhkan sistem 4-4-2 sama yang dipertaruhkan dalam separuh masa pertama liga sebelum ini.

Fabio Ferreira merupakan pengganti terus Matias Hadwa di sayap kanan. Park Kwang-il pula berpasangan dengan Nazrin Syamsul Bahri di tengah. Sementara itu, Abdou Jammeh pula menggantikan Gonzalo Soto yang ditamatkan kontrak kerana bergelut dengan kecederaan.

Melaka United pula turun dengan sistem 4-2-3-1.

Marko Simic mengetuai jentera serangan sambil dibantu oleh 3 pemain – Fauzi Roslan (kiri), R. Surendran (kanan) dan Felipe de Souza (tengah menyerang).

Seorang lagi tenaga import baru Melaka, Jasmin Mecinovic berpasangan dengan Faizal Muhd di pertahanan tengah.

Melaka kuasai penguasaan bola

Di bawah kendalian ketua jurulatih baru Eduardo Almeida, Melaka United jelas mahu menonjolkan falsafah permainan yang berteraskan penguasaan bola.

Ditambah pula dengan keengganan PKNS untuk melakukan high pressing, Melaka selesa memegang bola. Bagaimanapun mereka bergelut untuk memecah disiplin dan organisasi dua benteng 4 pemain (two banks of four) PKNS.

Dengan Simic yang dikawal ketat Abdou Jammeh, satu-satunya pemain Melaka yang mengancam adalah Fauzi Roslan di sayap kiri. Beliau kerap kali dapat menewaskan bek kanan PKNS, Rajes Perumal untuk mencipta peluang-peluang terutamanya pada minit 15′ dan 41′.

Bagaimanapun ia masih jauh untuk betul-betul menguji Zamir Selamat.

Fabio Ferreira mimpi ngeri Khuzaimie Piee

Aspek paling menarik dalam perlawanan ini adalah kekebalan pertahanan PKNS dan pelan serangan balas mereka.

Kelajuan dan skil Fabio Ferreira di sayap kanan PKNS nyata menjadi duri dalam daging buat bek kiri Melaka United, Ahmad Khuzaimie Piee.

Dalam 45 minit pertama sahaja, Fabio 4 kali menewaskan Khuzaimie dalam pertembungan 1v1 di sayap kanan PKNS. Dan keempat-empat kali itu jugalah, peluang yang dicipta oleh Fabio gagal disudahkan oleh rakan-rakan sepasukannya yang lain.

Seawal minit 9′ PKNS sepatutnya berada 1-0 di depan. Tetapi backheel shot Patrick lemah dan tersasar.

6 minit kemudian, Fabio sekali lagi menghantar hantaran lintang cantik dari kanan. Tetapi ia disa-siakan oleh Aliff Haikal.

Aliff cuba menebus dosanya dengan menghantar hantaran lintang dari kiri kepada Fabio. Tetapi percubaan cantik Fabio berjaya diselamatkan oleh Fazli Paat yang cemerlang.

Di penghujung separuh masa pertama, Fabio mendapat satu lagi peluang serangan balas. Barangkali menyedari beliau terlambat memberi reaksi, Khuzaimee terus menjatuhkan Fabio.

Pengadil Nazmi Nasaruddin memberi kad kuning kepada Khuzaimee lalu disambut oleh ejekan boo dan makian oleh penyokong Melaka United.

Melihat Khuzaimie yang jelas bergelut menangani Fabio, Almeida mengeluarkan beliau dan menggantikannya dengan bek kiri pilihan pertama Melaka United, Khair Jones.

Nazrin Syamsul Bahri menyerlah di tengah

Selain Fabio Ferreira, Nazrin Syamsul Bahri adalah satu lagi pemain PKNS yang beraksi cemerlang.

Berpasangan dengan Park Kwang-il di tengah, Nazrin bukan sahaja tenang mengawal bola. Malah hampir semua hantarannya positif dan menghala ke depan dan menghasilkan peluang gol.

Fizikalnya mungkin kecil, tetapi kawalan bola cemerlang – membolehkan beliau menyimpan bola dengan efektif walaupun diberi tekanan pemain Melaka.

Paling hampir, hantaran Nazrin membuahkan peluang gol buat Park Kwang-il pada minit 32′. Bagaimanapun rembatan luar kotak pemain Korea Selatan itu tersasar.

Melaka mendahului

Masuk separuh masa kedua, Eduardo Almeida pantas membuat pertukaran kedua. Kali ini R. Surendran yang tak efektif di sayap kanan digantikan dengan Jasmir Mehat.

Pertukaran ini membuahkan hasil pantas apabila kelicikan Jasmir membuatkan beliau dijatuhkan di sebelah kanan sayap lalu membuahkan sepakan percuma untuk Melaka.

Sepakan percuma tersebut diambil oleh Felipe de Souza dan – YA TUHAN – ia melencong cantik ke bucu kanan pintu gol PKNS untuk memberikan gol pertama Melaka United.

PKNS mula bangkit menyerang selepas itu. Tidak lagi bergantung harap kepada serangan balas, mereka mula menguasai majoriti penguasaan bola pada separuh masa kedua.

Tetapi ketika inilah impak 2 pertukaran pantas Almeida mula menampakkan hasilnya. Melaka jelas lebih berbahaya di bahagian sayap dengan kehadiran Khair Jones dan Jasmir Mehat.

Buktinya pada minit 57′ Fauzi Roslan hampir-hampir menambah gol ke-2 Melaka hasil hantaran lintang rendah Khair di sebelah kiri. Mujurlah bagi PKNS, Zamir Selamat muncul penyelamat.

Jasmin Mecinovic dibuang padang

Jika ada satu perkara yang Melaka United perlu perbaiki untuk kekal dalam Liga Super pada musim depan, ia adalah benteng pertahanan mereka.

Pantang diserang, pertahanan Melaka mula goyah. Faizal Muhammad menunjukkan tanda-tanda goyah pada minit 63′ apabila miskick beliau menghadirkan situasi kelam- kabut di benteng pertahanan pasukannya.

PKNS mula nampak semakin hampir untuk menjaringkan gol setiap kali menyerang. Pada minit 66′ sepakan percuma berjarak 40 meter yang diambil Park Kwang-il singgah ke palang.

2 minit kemudian barulah gol penyamaan PKNS tiba. Ketika 2,600 penonton berspekulasi sama ada percubaan Safee Sali melepasi garisan gol atau tidak sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Melaka, pengadil bertindak menghadiahkan penalti buat PKNS.

Jasmin Mecinovic pula diberi kad merah kerana menghalang peluang jelas menjaringkan gol. Safee pula tiada masalah menyempurnakan sepakan penalti untuk PKNS mengikat Melaka 1-1.

Meskipun beraksi dengan kelebihan 1 pemain dan memasukkan 3 pemain segar, PKNS bergelut untuk mencari gol kemenangan. Sebaliknya Melaka pula yang hampir menajringkan gol kemenangan apabila Fauzi Roslan mendapat peluang 1v1 dengan Zamir Selamat pada minit 83′.

Bagaimanapun Fauzi gagal menyempurnakannya kerana terlalu leka menggelecek daripada membuat penyudah.

Pada minit 90′, G. Puvaneswaran juga berpeluang menjaringkan gol kemenangan Melaka. Bagaimanapun percubaan sungkit beliau sipi-sipi melewati palang.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat. 2,600 penyokong Melaka United yang hadir kemudiannya pantas memberi tepukan gemuruh kepada pemain-pemain sebelum bersorak ‘pengadil itu anjing’ sebagai tanda protes kepada keputusan Nazmi Nasaruddin.

Pemain terbaik perlawanan: Nazrin Syamsul Bahri

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN