Jika semalam kita lebih banyak memberi tumpuan kepada penjaring gol kemenangan buat pasukan Malaysia tetapi kita terlepas pandang ada sosok individu yang berjaya melakukan dua bantuan jaringan, iaitu Safawi Rasid.
Tidak menjaringkan gol tetapi memainkan peranan di sebalik kejayaan itu adalah sesuatu yang lebih penting kerana tanpa bantuan gol, terlalu sukar pemain lain hendak meledak jaringan.
Menurut Safawi, beliau mengakui ketika ini dirinya dalam fasa untuk kembalikan prestasi terbaik dan mencipta nama semula.
“Saya sangat bangga dengan diri saya kerana bukan mudah untuk melakukan lima bantuan gol apatah lagi sudah lama tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif.
“Untuk kejohanan ini, saya ingin naikkan kembali nama saya seperti sebelum ini,” katanya.
Melihat prestasi beliau dalam kejohanan ini, selepas empat perlawanan tanpa sebarang jaringan namun berjaya melakukan beberapa bantuan gol kepada rakan sepasukan itu adalah sesuatu yang membanggakan.
Adakah prestasi Safawi sudah kembali seperti zaman kegemilangan beliau?
Ketika zaman kegemilangan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain ini banyak melakukan aksi menarik seperti rembatan luar kotak, larian ‘cut inside’ dan sepakan percuma yang menggegarkan jaring lawan.
Namun kehadiran Arif Aiman selaku pilihan utama di tambah kecederaan dialami oleh Safawi menyebabkan dirinya bergelut untuk kembalikan prestasi terbaiknya sekali gus sukar menambat semula kepercayaan jurulatih agar diturunkan selaku pemain utama.
Akan tetapi, prestasi pemain berusia 25 tahun ini tampak semakin positif sejak berguru bersama jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Melihat graf prestasi pemain ini, beliau antara tonggak penting Harimau Malaya dalam mencapai kemenangan.
Untuk musim ini, Safawi akan dipinjamkan ke pasukan Ratchaburi yang beraksi di Thai League 1.
Sudah tentu ramai peminat mengharapkan pemain kelahiran Terengganu ini dapat memberi aksi terbaik bersama pasukan baharunya agar mencerahkan peluang dirinya terpilih ke dalam skuad Piala Asia 2023 di Qatar nanti.
Musim lepas, ketika bersama JDT, Safawi hanya mampu meledak dua gol dan tiga bantuan jaringan daripada 13 penampilan dalam saingan Liga Super.