Sadio Mane: “Pertama Kali Dengar Nama Bayern Munich Saya Terus Teruja”

Sadio Mane Bayern Munich

Pemain kebangsaan Senegal, Sadio Mane mengakui yang apabila beliau pertama kali mendengar nama Bayern Munich, dirinya terus teruja untuk menyertai kelab itu.

Mane yang menghabiskan enam tahun bersama-sama kelab Premier League, Liverpool kini semakin hampir untuk menamatkan masanya bersama-sama The Reds.

Destinasi yang menjadi pilihan beliau adalah Bayern dan beliau semakin hampir untuk menjadi pemain kelab tersebut.

Pertama kali dengar terus teruja

Menurut Mane, beliau tidak teragak-agak untuk menerima tawaran Bayern selepas ejennya memberitahu kelab tersebut mahukan beliau.

“Bila ejen saya memberitahu yang Bayern mahukan saya, saya terus teruja serta-merta.

“Saya nampak yang diri saya akan berada di sana [Bayern]. Ia adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia dan sebuah pasukan yang sentiasa mencabar setiap kejuaraan.

“Jadi bagi saya ianya adalah sebuah idea yang sangat baik dan keputusan yang bijak untuk datang ke sini.”

Menurut Mane, selain Bayern terdapat juga kelab lain yang turut mahukan khidmatnya.

Namun beliau berasakan yang dirinya lebih baik untuk berada di Bayern disaat kariernya sudah mula memasuki fasa akhir.

“Ejen saya juga ada beritahu yang terdapat pertanyaan dari kelab-kelab lain [mengenai khidmatnya]. Itu sebahagian daripada bisnes.

“Tapi saya dapat rasakan yang diri saya berada di Bayern sebaik saja mereka persembahkan pelan mereka kepada saya.

“Saya nampak diri saya dalam pelan Bayern berbanding pasukan lain,” kata Mane.

Mane kini sudah berada di Munich untuk menjalani ujian perubatan bersama-sama Bayern dengan perpindahan bernilai maksimum £35.1 juta hampir pasti menjadi kenyataan.

Dengan pemergian Mane ke Bayern akan menghilangkan salah seorang daripada trio berbahaya Liverpool yang turut dianggotai Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Sumber:

Leave a Reply