Bimbang Man United Ketinggalan Jauh Di Belakang Liverpool, Ronaldo Pertimbang Mahu Tinggalkan Kelab

Cristiano Ronaldo sepertinya sedang mempertimbang untuk meninggalkan kelab dek kerana bimbang Manchester United akan tercicir jauh dibelakang Manchester City dan Liverpool.

Bintang handalan Portugal itu dikatakan tidak gembira melihat cara United melalui jendela perpindahan musim panas ini.

Beliau dilaporkan tidak gembira kerana United masih belum berjaya membeli walau seorang pemain pun lagi.

Menurut sumber laporan Manuel Sainz dari AS, Cristiano Ronaldo pada ketika ini sedang mempertimbang untuk meninggalkan Old Trafford kerana kecewa melihat pengurusan kelab.

Manuel Sainz merupakan wartawan paling dipercayai jika melaporkan hal-hal berkait Cristiano Ronaldo.

Kegagalan kelab mendapatkan pemain pada jendela perpindahan musim panas ini menjadi faktor utama mengapa Ronaldo mempertimbang keputusan untuk meninggalkan kelab, terutama selepas melihat pasukan seteru sedang memperkuat skuad masing-masing.

Liverpool dan City pada ketika ini sedang hangat mempersiap skuad mereka bagi menghadapi saingan musim baharu nanti.

Walau kedua-dua pasukan itu terlalu dominan pada musim lalu, namun mereka sepertinya tetap berusaha untuk memantapkan lagi skuad sedia ada dengan membawa masuk pemain baru.

Perpindahan terbesar City pada musim panas ini adalah dengan menandatangani Erling Haaland dari Borussia Dortmund, sementara Liverpool pula berjaya mendapatkan Darwin Nunez dari Benfica.

United sementara itu masih lagi tidak habis-habis dengan rundingan mereka bersama Barcelona untuk mendapatkan Frenkie de Jong.

Mana janji pimpinan kelab mahu berbelanja besar pada musim panas ini?

Pada hujung musim lalu, ketika Man Utd mengumumkan Erik ten Hag sebagai pengurus baharu kelab, mereka mendedahkan yang pihak kelab akan menyediakan dana besar untuk pengurus dari Belanda itu gunakan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pimpinan kelab menjanjikan yang United akan membeli beberapa pemain pada jendela perpindahan musim panas ini dalam usaha untuk memperbaiki skuad sedia ada.

Memandangkan ramai pemain yang akan keluar, maka jelas sekali United sememangnya perlu untuk mendapatkan pemain baru pada musim panas ini.

Posisi midfield merupakan posisi paling bermasalah dengan United sudah kehilangan pemain utama seperti Paul Pogba, Nemanja Matic dan Jesse Lingard.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini (Ketika artikel ini ditulis) United sepertinya masih gagal untuk mendapatkan mana-mana pemain pada jendela perpindahan musim panas ini.

Mereka masih lagi membuang masa untuk berunding dengan Barca berkait potensi untuk mendapatkan De Jong.

Bidaan pertama United telah ditolak mentah-mentah oleh Barca kerana nilai yang mereka tawarkan terlalu rendah.

Man Utd kemudiannya telah mengadakan rundingan dalaman untuk menghantar bidaan kedua kepada Barcelona.

Tiga hari sudah berlalu sejak kali pertama United mendedahkan yang mereka mahu menghantar bidaan kedua, namun mereka masih belum menghubungi Barcelona berkait hal tersebut.

Peminat sebelum ini sekadar bimbang melihat United tidak membeli pemain pada jendela perpindahan musim panas ini, namun kini mereka sepertinya akan bertambah bimbang kerana mereka akan turut berpotensi kehilangan Ronaldo andai kelab tidak melakukan sesuatu.

Leave a Reply