Ini merupakan sebuah definisi kepada tidak lupa daratan.
Bintang Liverpool, Sadio Mane telah melakukan usaha murni apabila menderma sebanyak 300 jersi Liverpool untuk warga kampung beliau yang terletak di Bambali, Senegal.
Perbuatan ini adalah dengan harapan seluruh warga kampungnya akan menyarung jersi itu sambil menyaksikan aksi beliau bersama Liverpool dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) menentang Real Madrid.
Tindakan murni Mane ini bagaimana pun mempunyai satu nilai sentimental disebaliknya.
Ia bermula 13 tahun yang lalu di malam Liverpool mendakap kejuaraan UCL selepas menewaskan AC Milan dengan cara yang paling bergaya.
“Saya masih ingat lagi pada perlawanan tersebut, saya menonton perlawanan tersebut bersama-sama dengan rakan saya.”
“Ketika perlawanan ini Liverpool sudah ketinggalan 3-0 dan rakan saya itu telah berlari pergi kerana terlalu kecewa.”
“Namun selepas Liverpool menjaringkan 3 gol semula, beliau kembali ke dan amat tidak percaya dengan apa yang berlaku.”
Mane ketika itu menonton perlawanan tersebut dengan rakan beliau bernama Youssouph Diatta yang amat meminati Liverpool.
“Pada waktu itu, beliau merupakan peminat Liverpool dan saya minat Barcelona.”
“Tetapi kini saya bermain di perlawanan akhir bersama Liverpool dan ianya satu pencapaian mengagumkan. Saya berharap kami akan memenanginya.”
Walaupun kini sudah berada di puncak dunia, Mane masih tidak melupakan asal usulnya.
Beliau masih lagi berhubung dengan keluarga serta rakan-rakan beliau di Senegal.
“Saya ada bercakap dengan Diatta tempoh hari dan beliau pesan jangan boloskan 3 gol.”
Mane akan kembali ke Senegal selepas melengkapkan tugasan antarabangsa bersama Senegal di Piala Dunia di Rusia.
Beliau semestinya berharap dapat pulang ke kampung halaman dengan membawa pingat pemenang UCL untuk ditunjukkan kepada warga kampungnya.