Sadio Mane menjelaskan beliau begitu hampir untuk menyertai Manchester United sebelum memilih Liverpool sebagai destinasi seterusnya dalam karier beliau.
Mane menyertai Southampton daripada Red Bull Salzburg pada September 2014 dan menjadi antara tunjang kepada kekuatan The Saints pada musim 2014/15 dan 2015/16.
Kualiti yang cukup baik dimiliki pemain skuad kebangsaan Senegal ini telah menarik minat kelab utama Liga Perdana Inggeris termasuklah Manchester United dan Liverpool.
Manchester United yang ketika itu dibimbing Louis Van Gaal, nyata amat berminat bagi membawa Mane ke Old Trafford.
Bagaimanapun, Van Gaal hampa apabila Jurgen Klopp menjadi watak penting yang bertanggungjawab ‘merampas’ pemain jentera serangan berusia 27 itu.
”Saya memang sangat-sangat hampir (menyertai Manchester United) kerana saya sudah berjumpa dengan mereka.”
”Jadi saya datang kesana, saya bercakap dengan pengurus mereka sebelum ini (Louis Van Gaal).”
”Dia membuat satu tawaran tetapi dalam minggu yang sama, (Jurgen) Klopp menghubungi saya.”
Klopp berkata: ‘ Saya merasakan ini adalah kelab yang sesuai. Jurulatih yang sesuai buat anda dan saya merasakan lebih baik anda ke Liverpool’.
”Bagi saya, saya merasakan ia juga adalah masa yang tepat. Saya berkata, saya akan ke Liverpool.”
Keputusan yang diambil Sadio Mane itu jelas satu langkah tepat apabila Liverpool semakin meningkatkan prestasi ketika di bawah bimbingan Jurgen Klopp.
Mane juga ketika ini sedang menikmati karier hebat di Anfield dengan meraih kejayaan peribadi setelah muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini bersama-sama Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang dengan 22 gol.
Langkah bijak buat beliau dan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia satu kerugian buat Manchester United kerana gagal mendapatkan Mane!