Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa, percaya ruang-ruang alternatif yang disediakan oleh FAM boleh menampung impak pembatalan saingan peringkat umur dan futsal.
Seperti yang diketahui petang semalam, FAM telah mengumumkan pembatalan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piala Presiden serta Piala Belia 2020 susulan ketidaktentuan berhubung wabak COVID-19.
Ia berikutan penganjuran perlawanan di venue padang terbuka melibatkan Piala Presiden dan Piala Belia dikhuatiri akan menyebabkan kesukaran pihak tuan rumah untuk mengawal daripada berlakunya perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering).
Manakala bagi saingan MPFL pula, perlawanan perlu diadakan di kawasan tertutup (indoor) yang sudah tentu merupakan aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN untuk dijalankan sebarang pertandingan terutamanya bagi tempoh beberapa bulan yang akan datang ini.
“Secara realitinya, pembatalan tiga pertandingan kelolaan FAM ini meringankan beban kewangan pasukan terbabit di saat semua pihak terjejas gara-gara COVID-19. Tetapi ini bukan alasan utama.”
“Normal baharu menuntut semua badan kebangsaan merangka SOP ketat untuk sebarang pertandingan anjuran mereka dalam menjamin keselamatan semua pihak yang terbabit secara langsung.
“Disebabkan kekangan yang ada, adalah wajar untuk FAM mengambil keputusan sebegini. Namun pada masa yang sama, kita tidak mahu pemain menjadi mangsa akibat keputusan ini.
“Sebab itu saya setuju dengan keputusan FAM membuka ruang pemain belia beraksi di peringkat lebih tinggi iaitu Liga Premier dan Liga Super. Setidak-tidaknya pemain yang dikira layak dari Piala Presiden misalnya boleh menembusi skuad utama lebih pantas.”
“Kedua, wang sagu hati atau pampasan wajib dilunas oleh majikan seperti yang digariskan oleh FAM seandainya kontrak pemain ditamatkan kerana persatuan atau kelab sudah menjimatkan kos pengurusan seperti penginapan dan logistik susulan pembatalan saingan.
“Ketiga, saingan liga semua pertandingan ini elok dimulakan lebih awal untuk tahun depan agar sejajar dengan jadual Sukma 2021,” tambah Sadek Mustaffa lagi.