Pemain Indonesia, Saddil Ramdani sah akan meninggalkan pasukan Pahang FA selepas pemain itu mengucapkan selamat tinggal melalui hantaran yang dilakukan melalui Instagram peribadi beliau.
Saddil menyertai skuad Tok Gajah pada awal musim ini untuk mengisi slot pemain import dari rantau ASEAN.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan, pegawai, penyokong Tok Gajah dan rakan sepasukan di Pahang FA,” ujar beliau melalui muat naik tersebut.
“Ini adalah pengalaman pertama saya menjadi pemain asing. Banyak pelajaran yang boleh saya ambil sejak satu tahun kebelakangan ini.
“Pada saya ini adalah peluang yang amat luar biasa. Terima kasih kerana menerima dan memberikan sokongan sepanjang saya menyarung jersi kebanggan rakyat Pahang.
“Saya mendoakan anda semua terus berjaya ke hadapan sehingga tampil juara.”
Pemain berusia 20 tahun itu sering kali digunakan oleh Dollah Salleh di bahagian kiri atau kanan sayap pasukan Pahang sepanjang saingan Liga Malaysia pada musim ini.
Tampil dalam 21 perlawanan Liga Super, Saddil bagaimanapun hanya menyumbang dua jaringan untuk skuad Tok Gajah.
Metupakan anggota skuad kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pemain ini turut dijangka akan menjadi sebahagian daripada anggota skuad Indonesia ke Sukan SEA yang akan berlangsung di Filipina pada penghujung November ini.