Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Hentikan Kritikan Kepada Norshahrul Idlan, Musuh Sebenar Adalah Sang Garuda

Semua penyokong sudah sedia maklum, ketiadaan Syafiq Ahmad dan Matthew Davies untuk Derbi Serumpun menentang Indonesia dalam aksi ke-5, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023.

Kedua-dua pemain adalah tonggak penting kepada pengendali, Tan Cheng Hoe sepanjang kempen Kumpulan G setakat ini dan kehilangan mereka sedikit merencatkan perancangan Malaysia.

Tan Cheng Hoe dilihat masih tenang menghadapi masalah ini dan menyatakan terdapat pemain-pemain lain yang mampu menggalas tugasan untuk posisi yang ditinggalkan itu pada Selasa. Adakah ketenangannya mampu diserap oleh para penyokong?

Adam Nor Azlin untuk posisi bek sayap

Malaysia memburu kemenangan ketiga dengan aksi di halaman sendiri yang pastinya mahu dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk posisi Syafiq Ahmad pastinya akan diambil alih tugasan tersebut oleh penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.

Untuk posisi bek kanan, mujur buat Tan Cheng Hoe, apabila Syahmi Safari telah diuji lebih awal ketika menewaskan Thailand pada Khamis lalu. Begitupun, pemain berusia 21 tahun itu telah dikeluarkan akibat kecederaan pangkal peha pada minit ke-81.

Menurut Syahmi Safari baru-baru ini, kecederaannya tidak serius dan boleh diturunkan untuk aksi menentang Indonesia. Jika tidak cergas sepenuhnya, Harimau Malaya perlu memikirkan solusi terbaik agar posisi tersebut tidak terlampau terjejas.

Adakah Adam Nor Azlin yang pernah beraksi di posisi bek sayap akan diberikan tugasan penting ini? Menurut pengamatan penulis, Adam Nor Azlin bakal diberikan ruang untuk kukuhkan benteng, jika Syahmi Safari gagal pulih atau cergas sepenuhnya.

Kamon, sokonglah Mat Yo

Untuk posisi penggempur utama, sudah tentu Norshahrul Idlan Talaha bakal mendapat lampu hijau berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya. Diharapkan para penyokong akan mengurangkan kritikan kerana mereka perlukan sokongan.

Ini aksi di halaman kita, di gelanggang keramat Harimau Malaya. Setiap pemain yang diturunkan pasti mahu berikan yang terbaik. Jangan direndahkan mereka kerana ia akan menjunamkan moral pemain dan juga pasukan secara total. Kenanglah jasanya kepada skuad negara sejak penampilan pertama pada Oktober 2007.

Tahun lalu adalah kemuncak kariernya apabila meledak enam gol daripada 14 gol antarabangsanya setakat ini. Untuk 2019, dua gol telah dijaringkannya iaitu ketika membelasah Timor Leste 7-1 dan kemudian ketika membenam Sri Lanka 7-0 di Bukit Jalil.

Norshahrul Idlan Talaha Malaysia Sri Lanka Persahabatan

FOTO: FAM

Sokongan moral amatlah ditagih daripada para penyokong bagi meningkatkan semangat para pemain. Perlawanan dengan musuh tradisi ini memerlukan ketenangan dan juga mental yang kuat. Ini mungkin tahun terakhirnya, kerana Tan Cheng Hoe sudah mula mengintai pemain lebih muda bermula pada tahun hadapan.

Gandingan Sumareh, Mat Yo?

Indonesia membawa skuad yang lebih segar dan di benteng juga tampak berbeza dengan skuad yang tewas 2-3 kepada Malaysia pada September yang lalu. Yeyen Tumena telah mengubah skuad yang dibentuk oleh bekas pengendali, Simon McMenemy.

Sebagaimana ketika tewas 1-3 kepada Vietnam bulan lalu, dijangka pertahanan bakal ditunjungi oleh Yanto Basna bersama Putu Gede, Abduh Lestaluhu dan Ricky Fajrin yang rata-rata memiliki kurang 16 kaps. Ini yang harus dimanfaatkan oleh jentera serangan.

Dengan pengalaman Norshahrul Idlan yang kini sudah memiliki 79 penampilan bersama skuad kebangsaan, sudah tentu ada ruang untuknya merobek gawang Sang Garuda nanti . Bantuan sokongan daripada rakan sepasukan dan penyokong amatlah ditagih.

Tan Cheng Hoe seperti peramal apabila telah mencuba gandingan Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan pada aksi ‘rahsia’ menentang Maldives pada 5 November lalu. Adakah gandingan ini bakal menjadi pertaruhan pengendali berusia 51 tahun itu?

Norshahrul Idlan Sumareh Malaysia

FOTO: NSTP

Penutup

Jika Sumareh dan Norshahrul Idlan digandingan sebagai jentera serangan, sudah tentu posisi kanan bakal dikembalikan kepada Pemain Paling Bernilai, Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK 19), Safawi Rasid dan posisi kiri pula menjadi persoalan.

Biarlah Tan Cheng Hoe tentukan siapakah yang sesuai untuk posisi tersebut. Tampak seakan-akan Akhyar Rashid mungkin akan turun dalam kesebelasan utama, jika pengamatan penulis menjadi realiti.

Kepada para penyokong, hentikan kritikan terhadap Norshahrul Idlan kerana kita bakal berhadapan Derbi Serumpun yang lebih penting malah kita juga memburu tiga mata penuh kedua di halaman sendiri. Jangan jatuhkan pemain sendiri, kerana musuh sebenar sudah berada di Lembah Klang sejak seminggu lalu.

Anggaplah ini peluang dan perlawanan terakhirnya. Jika Luqman Hakim Shamsudin cemerlang bersama skuad Sukan SEA 2019 pada hujung tahun ini, Tan Cheng Hoe sudah menjamin tempat buatnya.

Kredit Featured Image: FAM