Pemain sayap Sabah iaitu Saddil Ramdani dijangka bakal menjadi antara pemain yang memainkan peranan penting untuk aksi ketiga Liga Super 2024/2025 dengan pasukan itu bakal menghadapi cabaran Kuching City.
Setakat ini, momentum Sabah boleh dianggap berada pada tahap terbaik selepas mereka masih belum mencatat sebarang kekalahan sepanjang mengharungi dua perlawanan lalu.
Bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Penang, The Rhinos akhirnga menoktahkan kemenangan sulung mereka musim ini dengan menjadikan Kelantan Darul Naim (KDN) sebagai mangsa pertama.
Sudah tentu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini ingin meneruskan rentak positif mereka bagi memburu kemenangan dengan barisan kesebelasan utama terbaik bakal menjadi pertaruhan jurulatih tersebut.
Walaupun begitu, keupayaan Kuching City juga tidak boleh dipandang ringan kerana pasukan tersebut juga masih belum mencipta kekalahan serta memastikan diri mereka bukan skuad belasahan ketika bertemu Kuala Lumpur City (KL City) dan Sri Pahang.
Percaturan pasukan tersebut untuk membuat beberapa rombakan pemain kini dilihat semakin membuahkan hasil apabila Aidil Sharin Sahak berjaya membentuk gandingan lebih mantap terutama di bahagian serangan.
Untuk aksi hari ini, tiga pemain menjadi pilihan Semuanya BOLA kerana dijangka bakal menyerlah untuk membantu pasukan masing-masing meraih keputusan positif.
Saddil Ramdani (Sabah)
Pemain sayap kebangsaan Indonesia ini tidak perlu diperkenalkan dengan lebih jauh kerana beliau sudah pun membuktikan kualitinya di Malaysia sejak beberapa musim lalu.
Walaupun masih gagal meledak sebarang gol sejak dua perlawanan lalu, kualiti Saddil jelas sangat menonjol untuk membantu siri serangan Sabah menjadi lebih kreatif serta tajam.
Kelebihan pemain ini pastinya terarah kepada skil individu, kepantasan, serta ketajaman beliau untuk mendapatkan gol walaupun dari sudut sangat sukar.
Stuart Wilkin (Sabah)
Pemain tengah menyerang ini hanya memerlukan dua perlawanan sahaja untuk mencatat nama selaku penjaring gol pada musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Jaringan yang diledak Stuart ketika aksi bertemu KDN lalu pastinya membakar semangat beliau untuk tampil lebih baik pada aksi hari ini selaku antara perancang utama Sabah.
Selain memiliki kreativiti mencipta lorongan berbahaya buat rakan sepasukan lain meledak gol, pemain Harimau Malaya ini juga memiliki kualiti daripada segi rembatan jarak jauh untuk mendapatkan jaringan.
Danial Amier (Kuching City)
Nama beliau secara tiba-tiba kembali menjadi sebutan ramai peminat bola sepak tempatan tahun ini selepas dirinya cemerlang bersama Kuching City sejak dua aksi lalu.
Aksi Danial yang sangat tenang mengawal tempo permainan di bahagian tengah jelas sangat menonjol ketika skuad kendalian Aidil Sharin itu bertemu Sri Pahang.
Malah Danial juga berjaya menampilkan kualiti daripada segi kombinasi permainan bersama rakan sepasukan lain untuk terus memastikan pasukan diwakilinya itu terus menguasai bola.