Hikayat Sekolah Tiada Padang Ke Suku Akhir Kejohanan Bola Sepak MSSD

Baru-baru ini salah seorang penulis sambilan Semuanya BOLA, Nur Hadi Mohamad telah pun berkongsikan pengalaman menarik beliau selaku jurulatih akar umbi bagi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP (SMISTA).

Apa yang menarik, perkongsian beliau itu turut mengulas tentang sejarah baharu dilakar beliau bersama pasukan bola sepak di sekolah berkenaan selain pelbagai bentuk cabaran dihadapi dirinya sepanjang bergelar seorang jurulatih.

Berikut merupakan perkongsian menarik beliau yang mungkin dapat menjadi inspirasi terbaik buat para jurulatih akar umbi lain untuk terus kekal komited dalam tanggungjawab dipegang:

Pasukan bola sepak bawah 18 tahun (B18) dan bawah 15 tahun (B15) Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP (SMISTA) mengakhiri kempen Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Pudu 2024 di peringkat suku akhir.

Mungkin pada anggapan pihak lain, itu cumalah pencapaian biasa. Tetapi tidak bagi warga SMISTA yang selama bertahun-tahun ini menjadi pasukan belasahan di daerah Pudu ini. Boleh dikatakan setiap kali sesi undian, pasukan yang ditempatkan satu kumpulan dengan SMISTA akan menarik nafas lega kerana kamilah ‘lubuk mata’ bagi mereka.

Mengikut rekod SMISTA sememangnya pasukan kerdil. Pencapaian terbaik kami cuma pernah layak sekali sahaja ke pusingan kedua. Yang lainnya skrip sama akan berulang iaitu bermain di peringkat kumpulan, dibelasah tanpa belas kasihan dan ‘bungkus awal’.

Saya menyedari terlalu banyak kekangan dan cabarannya. SMISTA adalah sekolah kecil dengan jumlah murid sekitar 350 hingga 400 orang murid sahaja pada satu-satu masa. Bangunan sekolah punya hanya dua blok tanpa kemudahan padang permainan. Dengan ‘kolam’ pemain yang kecil, kami tidak perlu mengadakan sesi pemilihan. Sebaliknya untuk melengkapkan 18 orang pemain untuk sebuah pasukan sahaja sudah menjadi kesukaran.

Bermula tahun lalu, saya mula mengambil alih tugas kejurulatihan pasukan bola sepak sekolah, namun dalam kejohanan MSSD pada tahun tersebut, kami masih kekal tewas semua perlawanan di peringkat kumpulan. Saya ‘menelan’ hakikat bahawa itu adalah sebahagian daripada proses.

Tetapi untuk kejohanan tahun 2024, 36 orang ‘pahlawan’ SMISTA berjaya menamatkan ‘badi’ tersebut. Kami hadir dengan tekad dan semangat yang berbeza sebagai pasukan SMISTA yang ‘baharu’.

Pasukan B18 menang dua perlawanan peringkat kumpulan (1 – 0 menentang SMK Seri Bintang Utara dan 2 – 0 menentang SMK Aminuddin Baki), seterusnya menang di pusingan 16 (2 – 0 menentang SMK Orked Desa) sebelum terkandas di peringkat suku akhir (tewas 0 – 1 menentang SMK Seri Mulia).

Pasukan B15 pula menang tiga perlawanan peringkat kumpulan (2 – 0 menentang SMK Datuk Lokman, 1 – 0 menentang SMK Bandar Tun Razak, 11 – 0 menentang SM Sri Sempurna) sebelum juga tersingkir di peringkat suku akhir (keputusan masa penuh 0 – 0, tewas 4 – 3 menerusi penentuan sepakan penalti menentang SMK Seri Permaisuri).

Adakah pencapaian ini berlaku secara kebetulan?

Tidak dinafikan secara umumnya SMISTA adalah sekolah yang berteraskan akademik. Berbekalkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), sebahagian besar murid yang terpilih untuk masuk sekolah ini adalah dalam kalangan anak-anak yang cerdik pandai. Cemerlang pelajarannya dan kuat ingatannya demi menghabiskan sukatan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 5 tahun.

Sebagai institusi pendidikan di bawah naungan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tentunya fokus badan induk tersebut adalah untuk memastikan sekolah ini secara berterusan cemerlang keputusan akademiknya. Oleh yang demikian, bidang sukan dan permainan bukanlah keutamaan. Jadi bagaimana tradisi ini dapat dipecahkan?

Perkara 1: Ilmu Kejurulatihan

Untuk faktor ini sahaja, ia menelan masa yang panjang, tenaga yang banyak dan kos yang tinggi. Kata kuncinya adalah kesabaran. Apabila saya mengalami kecederaan lutut di bahagian ligamen anterior cruciate (ACL) buat kali ketiga pada penghujung 2021, ia menjadi asbab untuk saya mengubah hobi daripada ‘bermain bola sepak’ kepada ‘melatih bola sepak’. Maka saya mulakan langkah ini dengan mengambil lesen kejurulatihan yang saya percaya boleh menjadi nilai tambah kepada diri sendiri dan turut memberi manfaat kepada pasukan bola sepak sekolah. Minat itu juga datang selepas saya menulis artikel secara sambilan tentang bola sepak di portal Semuanya BOLA.

Pada bulan Mei 2022 saya mendaftar ke Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Akar Umbi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun pada ketika itu saya bukanlah guru yang ditugaskan untuk menguruskan pasukan bola sepak sekolah. Dengan perasaan rendah hati, saya sedar perjalanan saya perlu bermula daripada bawah. Saya bukan pemain bola sepak yang beraksi di peringkat tinggi mewakili daerah atau negeri. Malah saya juga tiada sedikit pun pengalaman sebagai jurulatih untuk mana-mana pasukan.

Tanpa menoleh ke belakang, pada Julai 2022 saya lulus Lesen Kejurulatihan ‘D’ FAM anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan seterusnya pada Julai 2023 saya ditauliahkan Lesen Kejurulatihan ‘C’ Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)/FAM anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Tentunya tidak mudah untuk menyelesaikan semua kursus ini. Pertama, tempoh kursus iaitu tiga hari bagi kursus Akar Umbi, seminggu bagi Lesen D dan dua minggu untuk Lesen C berlangsung pada hari bekerja yang memerlukan pelepasan daripada pihak majikan iaitu sekolah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Kuala Lumpur.

Kedua, yuran kursus kejurulatihan bola sepak ini agak tinggi. Tetapi alhamdulillah urusan saya dipermudahkan kerana mendapat semua bayaran tersebut ditaja oleh Semuanya BOLA dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMISTA. Ketiga, tahap kesihatan dan kecergasan saya yang tidak terlalu baik. Semua kursus ini saya jalani ketika keadaan lutut saya yang sudah ‘barai’ akibat kecederaan ACL. Jadi saya perlu berterima kepada tenaga pengajar yang banyak memberi kelonggaran terutamanya ketika sesi penilaian praktikal yang memerlukan pergerakan fizikal sepanjang kursus berlangsung.

Kursus kejurulatihan ini bukan ‘lesen’ untuk kita bersikap sombong dan meninggi diri. Sebaliknya ia akan menyedarkan kita bahawa semakin banyak yang kita belajar, semakin banyak perkara yang kita belum tahu. Seorang jurulatih bukan semata-mata mengajar pemainnya menendang bola, tetapi perlu lengkap dengan pemahaman tentang falsafah, pembinaan karakter, fisiologi, psikologi, komunikasi, kaedah latihan, keselamatan, anatomi, pemakanan, undang-undang permainan, analisis taktikal dan banyak lagi.

Barulah kita akan menjadi seorang jurulatih yang memiliki pengetahuan serta nilai hormat kepada individu lain dalam bidang ini. Tidak sewajarnya seorang jurulatih mengherdik atau memaki hamun pengadil yang akhirnya menjadi contoh yang buruk kepada pemain. Bukanlah saya bermaksud kita langsung tidak boleh membantah keputusan pengadil kerana mereka juga manusia biasa yang terdedah untuk melakukan kesilapan. Tetapi janganlah sesekali memulakan provokasi dan menggunakan perkataan kesat kerana sikap jurulatih itu adalah cerminan kepada pemainnya. Didiklah pemain dengan nilai-nilai murni seperti memohon maaf apabila melakukan kesilapan, tidak melakukan kekasaran dengan sengaja, bersalaman dengan pihak lawan dan banyak lagi.

Untuk menambahkan lagi ilmu dalam bidang kejurulatihan, pada Oktober tahun lalu hanya dua minggu selepas menjalani pembedahan ACL, saya hadir ke Kursus Sains Sukan Tahap 1 anjuran Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Institut Sukan Negara (ISN). Disebabkan saya telah mendaftar kursus ini lebih awal (beberapa bulan sebelum pembedahan) maka saya tekad untuk tetap menyelesaikan kursus selama 5 hari tersebut semasa tempoh cuti sakit secara berulang alik dari rumah Kuala Lumpur ke Putrajaya dengan bermotosikal dan bertongkat. Di sini saya dapat mendalami cabang ilmu lain dalam bidang sukan seperti fisiologi, anatomi, perubatan, nutrisi, suaian fizikal dan banyak lagi. Setelah disahkan lulus kursus tahap 1, ia membolehkan saya memperoleh Lesen C (Bola Sepak) Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan.

Ke mana ilmu kejurulatihan ini dicurahkan? Waktu latihan untuk pasukan bola sepak SMISTA di hari persekolahan hanya terhad kepada dua kali sahaja iaitu pada hari Selasa dan Khamis. Kenapa hanya dua kali sahaja seminggu? Ia akan dijelaskan di bahagian lain dalam penulisan ini. Tetapi tempoh yang singkat itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan sesi latihan yang bersesuaian mengikut kemampuan pemain dan pasukan.

Manakala ‘kekosongan’ pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat saya isi dengan tugasan sebagai jurulatih di Akademi Tunas (AT) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Dalam program ini saya ditugaskan untuk melatih murid bawah 8 tahun (B8) dan bawah 9 tahun (B9) yang memerlukan pendekatan yang berbeza. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk saya menambah minit melatih dan mempelajari lebih banyak corak latihan daripada jurulatih-jurulatih lain yang jauh berpengalaman.

Pada tahun lalu saya juga telah diberi kepercayaan untuk menjadi Penolong Jurulatih pasukan Daerah Pudu yang bertanding di Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Kuala Lumpur. Kemudian turut dilantik sebagai ketua jurulatih Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan yang bertanding di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA) 2023 di Gambang, Pahang.

Semua pengalaman ini dikutip dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk saya curahkan kepada pasukan bola sepak SMISTA. Kuncinya adalah betapa pentingnya melatih dengan ilmu, bukannya ‘hentam kromo’ sahaja dan kemudian mengharapkan hasil yang positif. Walaupun murid-murid SMISTA selama ini dianggap ‘skema’ dan bukanlah dalam kalangan ‘pemain bintang’ yang pernah mewakili daerah dan negeri, tetapi teknik latihan yang betul membolehkan mereka berkembang dengan baik sama di peringkat pembangunan ada secara individu mahupun secara berpasukan.

Perkara 2: Kelengkapan dan Kemudahan Infrastruktur

Untuk peringkat awal, faktor ini juga boleh dianggap masalah besar kerana secara tradisinya latihan pasukan bola sepak pasukan SMISTA hanya melibatkan dua biji bola sahaja. Dengan bantuan seorang lagi guru bola sepak, Ustaz Akmal Hakim, kami berjaya mendapatkan tajaan untuk membeli kelengkapan bola sepak.

Dengan sejumlah tajaan yang diterima daripada syarikat Semuanya BOLA, KOPPA (New Advance Technology), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sumbangan peribadi Jordan Mintah (Pemain Bola Sepak Kuching City) , kami telah melengkapkan peralatan latihan yang terdiri daripada 30 biji bola sepak, pam tangan, tiang gol mini, penanda (marker), kon, tiang slalom, tangga ketangkasan (agility ladder), hadangan mini (mini hurdle), gelung, bib latihan serta dua set jersi. Dengan semua kelengkapan ini, sesi latihan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sempurna mengikut perancangan.

Masalah besar yang kedua adalah ketiadaan padang latihan. Seperti yang disebutkan, Bangunan sekolah SMISTA di Bandar Tun Razak tidak dilengkapi dengan padang permainan. Oleh yang demikian kami mendapat ‘ihsan’ daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP, Bandar Seri Permaisuri untuk menumpang padang kompleks mereka pada petang Selasa dan Khamis. Itulah sahaja peruntukan masa yang kami perolehi untuk melaksanakan latihan.

Walau bagaimanapun, keadaan padang tersebut yang tidak diselenggara dengan baik menjadikan permukaan padang yang tidak rata, berlubang serta tanah yang lembab dan mendap. Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan. Beberapa kawasan apabila dipijak, bahagian kaki akan tenggelam sehingga bahagian buku lali. Tetapi apa lagi pilihan yang kami ada kerana itulah sahaja tempat yang kami ada untuk berlatih dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Untuk menyelesaikan masalah ini, kami telah menyerahkan kertas kerja kepada pihak pentadbir SMISTA dan juga pemilik padang iaitu pentadbir SMA MAIWP untuk melaksanakan kerja-kerja memulihkan padang tersebut. Dengan kos hanya sekitar RM3,000 yang disumbangkan secara bersama oleh Yayasan Bakti Warisan dan PIBG SMA MAIWP, kami telah membeli 40 tan pasir halus, 150 kaki persegi rumput, 40 kilogram baja dan semua peralatan. Dengan kos itu juga kami mengupah dua orang pekerja untuk kerja-kerja menambak pasir ke kawasan berlopak dan mendap yang telah dikenalpasti.

Kerja-kerja pemulihan padang ini perlu dilakukan pada waktu yang tepat dan bersesuaian. Maka kami beberapa orang guru yang terlibat terpaksa ‘mengorbankan’ cuti penggal akhir persekolahan pada Februari kerana hanya dalam tempoh tersebut sahaja semua murid sedang bercuti dan padang tidak akan digunakan. Secara kebetulan juga awal sesi persekolahan bagi kalender akademik 2024/2025 adalah pada bulan Ramadan. Jadi tempoh dua bulan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan kerja-kerja penambakan pasir dan menanam rumput.

Kenapa memulihkan padang ini begitu penting? Secara asasnya, untuk bermain bola sepak dengan corak permainan yang baik, padang yang baik dan berkualiti diperlukan. Syarat utama untuk bermain corak permainan bola sepak moden adalah pergerakan bola yang lancar. Untuk mendapatkan pergerakan bola yang lancar, padang yang rata, tidak berlopak dan tidak berlubang diperlukan. Pada masa yang sama, keadaan padang yang baik juga membantu pemain mengelak kecederaan.

Meskipun keadaan padang di Kompleks SMA MAIWP yang kami tumpang ini belum 100 peratus sempurna, tetapi kini keadaannya sudah jauh lebih baik daripada sebelumnya dan ia membolehkan setiap sesi latihan berlangsung dengan lancar. Masih banyak pemulihan yang perlu dibuat dan penyelenggaraan seharusnya dibuat secara berterusan.

Video proses pembaikan padang boleh ditonton di bawah.

Perkara 3: Sistem Sokongan

Perhatikan daripada awal penulisan, beberapa nama individu, syarikat dan pihak berkepentingan telah saya sebutkan. Sama ada secara langsung atau tidak langsung, realitinya mereka semua adalah sebahagian daripada sistem sokongan dalam pencapaian ini.

Pertama, penghargaan buat semua pihak yang memberi sokongan kewangan iaitu penaja-penaja yang telah dinyatakan di atas. Seterusnya dua individu yang memberi galakan kepada saya untuk memulakan karier kejurulatihan adalah sepupu saya, Cikgu Zulfadli Ali (Jurulatih Pusat Latihan Daerah Kuala Selangor) dan sahabat saya Encik Ekhsan Bukharee (Jurulatih Akademi Mokhtar Dahari).

Untuk ilmu kejurulatihan, saya terhutang budi dengan semua tenaga pengajar semasa menjalani kursus yang terdiri daripada Encik Patrick Loo, Cik Zaireen, Encik Iqbal Hanafi, Encik Shaiful Shazwan, Encik Richard Sinappan dan Encik Fairuz Yunus, Datuk Marina Chin, Dr. Tengku Fadilah, Cik Nadiasafra, Encik Manshahar Jalil, Encik Freddy Affendi, Encik Pharmy Jalil dan Encik Izzat.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada tunjuk ajar yang diterima dalam program NFDP bermula dengan Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Kuala Lumpur, Encik Ghani Malik dan Encik Yuzaiman Zahari yang merupakan bekas pemain profesional. Tidak ketinggalan jurulatih seangkatan di AT Bandar Tun Razak iaitu Encik Azman Nordin, Encik Ezwan Jais, Encik Sani, Encik, Noorhisham, Cikgu Syahrin dan Cikgu Al Hadi. Seterusnya jurulatih seangkatan dalam pasukan MSSD Pudu iaitu Ustaz Yusri Yunus, Cikgu Zikri, Cikgu Ramdan, Cikgu Arman dan Cikgu Iqbal.

Untuk melatih dan mengurus dua buah pasukan (B18 dan B15), tentunya saya tidak boleh bekerja seorang diri. Di sinilah pentingnya kerjasama dan hubungan baik dengan rakan sekerja. Ustaz Akmal Hakim dan Ustaz Yusran adalah dua guru lain yang boleh diharapkan untuk sama-sama turun ke padang pada waktu petang di luar waktu kerja. Kebiasaannya kami akan berbincang dan menelaah perancangan sesi latihan secara teori terlebih dahulu di sekolah sebelum melaksanakannya secara praktikal di atas padang. Untuk kerja-kerja pengurusan pula kami dibantu oleh Ustaz Fakhrulhadi dan Ustaz Redha. Urusan dokumentasi, logistik, pembelian barang keperluan, makanan dan sebagainya diserahkan kepada mereka berdua. Jadi kata kunci di sini adalah kerjasama berpasukan dalam kalangan guru-guru.

Seterusnya, untuk sepanjang ketiadaan saya di sekolah untuk menghadiri kursus, latihan dan pertandingan, saya perlu berterima kasih kepada pihak JPWP Kuala Lumpur yang memberi kebenaran, pentadbir SMISTA yang memberi pelepasan dan rakan sekerja yang menggantikan waktu kelas yang ditinggalkan. Betapa pentingnya kerjasama dan sokongan mereka semua untuk memahami bahawa ketiadaan kami guru bola sepak ini di sekolah adalah satu proses yang akhirnya akan membawa pulang hasil yang positif.

Kredit terakhir tentulah yang paling utama iaitu sokongan keluarga. Tanpa kesabaran serta sikap tolak ansur isteri dan anak-anak, sudah tentu saya tidak mampu untuk memberi komitmen kepada bidang kejurulatihan. Keluar awal pagi dan pulang lewat petang sudah menjadi jadual harian. Cuti hujung minggu pula dikorbankan untuk latihan dan pertandingan.

Mungkin setiap nama yang saya sebut di atas bukanlah nama besar dan dikenali ramai, tetapi merekalah penyumbang kepada pencapaian terbaik SMISTA di peringkat MSSD Pudu yang cukup bermakna buat kami.

Penutup

Apabila kami tewas di peringkat suku akhir tempoh hari, ternyata semua pemain merasa kecewa dan tidak sedikit dalam kalangan mereka yang mengalirkan air mata. Tetapi kami selaku guru dan jurulatih mengingatkan mereka bahawa sepatutnya berbangga kerana telah memahat sejarah baharu buat SMISTA.

“Semasa hari pertama awak semua naik bas ke sini, tidak ada sesiapa yang meletakkan harapan tinggi kepada pasukan ini. Malah ada ‘mulut longkang’ dalam sekolah kita yang memperlecehkan kemampuan kita semua. “Buat apa main bola, bukannya boleh menang” katanya. Tetapi lihat di mana awak semua berada pada hari ini. Kita bukan lagi pasukan belasahan, tetapi tahun ini kita adalah lapan pasukan terbaik di daerah ini. Berbanggalah dengan diri awak dan pasukan ini.. Mulai hari ini dan tahun-tahun seterusnya, SMISTA akan terus mengaum di setiap kejohanan MSSD Pudu!” ujar saya kepada semua pemain.

Tiada keajaiban, tiada magis. Usah mengharapkan ‘nasib’ semata-mata untuk meraih kejayaan. Ia boleh dicipta dengan ilmu yang betul, perancangan yang teliti dan pengurusan yang baik. Percaya kepada proses, hasilnya akan tiba. Kita tidak perlu mengharapkan orang lain mengangkat kita sebagai wira. Cukuplah kita menjadi wira dalam cerita yang kita coretkan sendiri. Doakan SMISTA terus maju!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN